Kuala Lumpur: Maklumat salah diterima, rawatan kanser menyakitkan selain kos rawatan mahal antara faktor ramai pesakit kanser memilih mendapatkan rawatan alternatif.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, memilih rawatan alternatif menjadi kebiasaan di Malaysia terutama membabitkan wanita namun ia sebenarnya mengundang risiko kepada pesakit.
"Ini menyebabkan pesakit mungkin lewat mendapatkan khidmat nasihat profesional dan rawatan yang betul berikutan kaedah lain terutama bomoh bercanggah dengan rawatan diberikan profesional.
"Ia agak mendukacitakan berikutan pesakit kanser mungkin ada peluang mendapat rawatan lebih baik.
"Pesakit terbabit juga membahayakan diri sendiri, sebagai contohnya memakan ubat tak betul atau terdedah keracunan serta kesan sampingan. Selain itu mereka terdedah ditipu apabila ada perawat alternatif ini mengenakan caj mahal tetapi tidak mujarab," katanya.
Katanya, kerajaan perlu menyediakan sistem dan kakitangan yang mesra pesakit dengan menawarkan rawatan pada kos berpatutan.
"Kita perlu faham mereka (pesakit kanser) tertekan emosi selepas disahkan menghidap penyakit kanser. Kadangkala mereka tidak menerima nasihat sesuai. Bahkan ada antaranya menerima nasihat dalam bentuk menggerunkan hingga menyebabkan pesakit ini dapatkan rawatan luar (alternatif).
"Selain itu, saya harap kerajaan dapat menyediakan bajet sesuai terutama kepada golongan B40 dan M40 yang tertekan dengan penyakit kanser dihidapi. Ia sekaligus dapat membantu mereka menjalani rawatan mengikut kadar kemampuan mereka," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan berkata, pesakit perlu terbuka menerima nasihat pakar berbanding terpedaya dengan pihak yang mengaut keuntungan dengan menawarkan kaedah rawatan salah sekali gus merisikokan nyawa pesakit.
"Ramai (pesakit) takut dengan masalah kanser dan menerima maklumat palsu bahawa rawatan kemoterapi dan sebagainya adalah merbahaya untuk mereka.
"Maka mereka cuba mencari penyelesaian dari pihak lain terutama apabila ada individu menjanjikan yang bukan-bukan. Contohnya memberikan gambaran sangat positif (peluang sembuh).
"Jadi, pesakit dan ahli keluarga perlu menerima maklumat serta pandangan dari pakar perubatan yang dapat memberikan maklumat terbaik untuk merawat seseorang pesakit," katanya.
-myMetro
No comments:
Post a Comment