PUTRAJAYA: Bersatu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perbelanjaan “mewah” Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa PRU15.
Ketua Bersatu Puchong, Shukor Mustaffa, mendakwa terdapat pelbagai laporan mengenai PH dan BN menggunakan poster dan bendera dalam jumlah yang banyak untuk kempen.
Shukor turut mendakwa Anwar Ibrahim, pengerusi PH dan presiden PKR, menggunakan helikopter mewah semasa kempen pilihan raya.
“Kami berharap agar satu siasatan menyeluruh oleh pihak SPRM dapat dilakukan terhadap PH dan BN, terutamanya terhadap Anwar dan keluarganya.
“Laporan ini memerlukan tindakan yang adil dan segera daripada SPRM,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM.
Shukor juga mempersoal bagaimana anak Anwar, Nurul Izzah, boleh dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri itu tanpa menerima sebarang pampasan mahupun gaji.
Laporan itu menyusul desakan bekas pembantu Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, yang mahu SPRM menyiasat PKR dan DAP berhubung perbelanjaan ketika PRU15, termasuk sumber dana.
Kenyataan Marzuki muncul selepas SPRM membekukan akaun Bersatu, dikatakan ada kaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit bagi pakej rangsangan Covid-19.
Muhyiddin menafikan dakwaan sedemikian dan menegaskan pentadbirannya tidak pernah salah guna dana ketika beliau menjadi perdana menteri.
Shukor mendakwa pelbagai tuduhan dilontarkan terhadap Bersatu bagi mencipta persepsi negatif, terutama menjelang PRN.
Beliau juga mendakwa Bersatu dihukum tanpa “sebarang proses wajar”, sambil menyatakan akaun parti dibekukan sebelum SPRM melengkapkan siasatan.-FMT
No comments:
Post a Comment