Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2022 oleh Jawatankuasa Kerja Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), yang diterbitkan Oktober lalu yang membabitkan 3,000 responden itu antara lain mendapati 69 peratus daripadanya lebih suka berbelanja berbanding menyimpan, menyebabkan mereka tiada simpanan untuk digunakan sewaktu kecemasan.
Selain itu, 47 peratus responden mengakui sukar menyediakan wang kecemasan RM1,000 dan hanya 20 peratus mampu menampung perbelanjaan hidup bagi tempoh tiga bulan atau lebih, jika hilang pendapatan.
Tidak hairanlah, setiap kali bajet tahunan negara dibentangkan, setiap kali itulah rakyat akan menanti dengan penuh harapan. Baru-baru ini rata-rata rakyat tidak berpuas hati apabila Perdana Menteri mengumumkan tiada pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini membuktikan survival ekonomi rakyat kini diparas yang rendah.
Mereka mahu agar aspek pertumbuhan ekonomi yang mampu memberi keselesaan. Sudah tentu mereka mengharapkan usul ekonomi yang dibentangkan itu mampu membantu mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Ramai yang tidak sedar kos sara hidup tidak semata-mata berkaitan peningkatan gaji dan upah dalam sektor tertentu dan jawatan tertentu.
Begitu juga persoalan dengan gaji minimum yang ditawarkan dalam sektor berkenaan dalam menampung kehidupan seharian.
Lazimnya masyarakat umum melihat kos sara hidup dalam lingkungan kumpulan berpendapatan rendah dan mengaitkannya dalam corak perbelanjaan terhadap gaji yang diterima.
Matlamat menyediakan peluang pendidikan, kemahiran dan bantuan pendidikan perlu disampaikan kepada ibu bapa.
Ibu bapa terutama daripada keluarga berpendapatan rendah dan memiliki tahap pendidikan rendah perlu disedarkan untuk menggalakkan anak-anak mereka tidak hanya terhenti belajar sehingga tahap SPM, tetapi perlu melanjutkan pelajaran sehingga pada peringkat universiti.
Sekiranya usaha ini tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh, kita akan melihat sampai bila-bila masyarakat terus hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka akan terus dihimpit kemiskinan sedangkan kos sara hidup semakin meningkat.
Upah yang rendah dan tidak mempunyai kemahiran hanya akan menggalakkan aktiviti perbelanjaan yang tidak teratur. Kumpulan ini tidak mempunyai peluang untuk melabur atau menyimpan.
Mereka juga tidak mempunyai daya beli yang tinggi.
Sedangkan pada masa yang sama trend generasi muda dilihat cukup selesa untuk hidup dengan bergantung kepada kad kredit dan pinjaman dalam merealisasikan impian untuk hidup dengan mewah.
Maka, lahirlah ramai ‘jutawan hutang.’ Sebenarnya satu pelan jangka panjang diperlukan dalam menangani beban kenaikan kos sara hidup.
Hanya dengan peningkatan kemahiran dan pendidikan serta kesediaan majikan untuk memberi upah yang setimpal mampu mengatasi masalah bebanan ekonomi yang melanda rakyat.
Penetapan gaji minimum yang dilihat mampu membantu rakyat berpendapatan rendah tanpa disertai dengan tahap pendidikan dan kemahiran yang setara sebenarnya boleh mendatangkan kesan kepada ekonomi.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment