KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata mudah bagi kerajaan mengikut saranan pelbagai pihak termasuk ahli politik untuk membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi kesannya hanya akan dirasai pencarum pada masa akan datang.
Beliau berkata, simpanan itu sepatutnya untuk kegunaan pada hari tua, yang dijangka menjadi lebih sukar, dan menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat mempunyai sedikit bekalan untuk menghadapi tempoh itu.
“Jadi apa yang kita mampu bantu dari segi bantuan dasar yang lain ketika ini adalah melibatkan pendapatan.. kita perlu tumpu itu dahulu kerana untuk mengambil wang persaraan hari tua itu nampak mudah untuk ahli politik sekarang.
“….. tetapi dia ‘mencuci tangan’ di masa akan datang kerana yang menanggungnya adalah mereka yang kehilangan simpanan itu,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog bersama peserta industri.
Rafizi dipercayai merujuk kenyataan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki bahawa beliau menyuarakan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim gesaan pihak yang menginginkan pengeluaran bersasar KWSP.
Asyraf yang bertemu Anwar pada mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Selasa lalu berpendapat, pengeluaran kali ini dibuat secara bersasar, memadai buat mereka yang memerlukan.
Bagaimanapun, Anwar pada satu majlis di Kuala Selangor semalam menjelaskan, kerajaan tidak akan membenarkan pengeluaran KWSP lagi, sebaliknya akan mencari mekanisme lain tanpa memberi kesan kepada simpanan hari tua rakyat.
Rafizi berkata, Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Feb ini dijangka menumpukan dasar dan kerangka yang mampu membuka peluang kepada lebih ramai golongan B40 menambah pendapatan.
“Tidak lagi boleh lihat pada aspek kos sara hidup semata-mata, tetapi kerajaan perlu ada dasar jelas untuk tempoh dua tahun, lima tahun akan datang bagi memastikan kenaikan gaji itu tidak diserahkan semata-mata kepada pasaran.
“Secara prinsip, kalau kita berjaya, program subsidi itu disasarkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, kesan kenaikan kos sara hidup itu dapat ditangani lebih baik oleh keluarga B40,” katanya.-FMT
No comments:
Post a Comment