PETALING JAYA: Keputusan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor melantik bekas menteri luar negeri Anifah Aman sebagai penasihat khas akan mengukuhkan kedudukannya di negeri itu, kata seorang penganalisis.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah, berkata walaupun Anifah dan Parti Cinta Sabah (PCS) diterajuinya tidak mempunyai sebarang kerusi, bekas wakil Umno itu masih menjadi tokoh berpengaruh di negeri itu.
“Ia langkah bijak oleh Hajiji. Ia akan akan membantu menyatukan sokongan untuk beliau dan memastikan satu lagi parti Sabah sejajar dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” kata Lee kepada FMT.
Lee berkata menyatukan parti-parti tempatan amat penting bagi Hajiji, memandangkan usaha Umno gagal untuk menjatuhkan kerajaannya.
“Lagipun, GRS adalah parti tempatan, jadi mempunyai lebih banyak parti tempatan yang menyokongnya adalah satu kelebihan. Tambahan pula, Anifah dilihat mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, setelah menyokongnya semasa berkempen untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).”
Semalam, Hajiji mengumumkan pelantikan Anifah sebagai penasihat khas perhubungan antarabangsa dan pelaburan asing.
Anifah yang juga bekas Ahli Parlimen Kimanis merupakan menteri luar dari 2009 hingga 2018.
Lee berkata dalam apa jua keadaan, adalah sukar bagi Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin untuk mencuba dan menjatuhkan Hajiji sekali lagi selepas percubaan gagal bulan lepas.
“‘Pembersihan’ parti oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan memecat dan menggantung pemimpin parti telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam barisannya.
“Terdapat pemimpin Umno Sabah menyokong mereka yang digantung atau dipecat oleh Zahid, yang menyokong usaha Bung untuk menjatuhkan Hajiji. Jadi Bung mungkin tidak mendapat persetujuan daripada partinya sendiri untuk menjatuhkan kerajaan Hajiji.”
Sementara itu, sumber dalam kerajaan Sabah berkata adalah jelas bahawa pelantikan Anifah akan mengukuhkan kedudukan Hajiji.
“Ia juga satu kelebihan untuk GRS kerana Anifah akan menjadi sekutu yang baik, dengan pengaruh dan sumbernya,” kata sumber dalaman itu yang enggan namanya disiarkan.-FMT
No comments:
Post a Comment