ISKENDERUN (TURKIYE): Kuasa Allah SWT mengatasi segala-galanya apabila ketentuan takdir menyaksikan sebuah rumah kebajikan anak yatim yang dihuni kira-kira 30 kanak-kanak dan remaja, terselamat daripada runtuh akibat tragedi gempa bumi kuat di Turkiye pada Isnin minggu lalu.
Lebih menakjubkan, hanya rumah kebajikan itu masih utuh sedangkan hampir semua bangunan di sebelah dan sekitarnya musnah.
Menceritakan detik mencemaskan itu, seorang penghuni rumah kebajikan berkenaan, Hassan Al Hassan, 15, berkata kejadian berlaku ketika dirinya bersama rakan lain sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan gegaran kuat.
"Gegaran sangat kuat sehingga sukar untuk kami berdiri tegak. Kami segera keluar ke kawasan depan rumah sebelum melihat sendiri satu demi satu rumah dan bangunan bersebelahan runtuh.
"Kami hanya mampu menjerit dan berdoa sebelum segera masuk ke rumah apabila yakin keadaan di dalamnya selamat," katanya.
Hassan yang lancar bertutur dalam bahasa Inggeris berkata, kejadian yang berlaku di depan matanya itu meninggalkan kesan trauma dan perasaan takut hingga kini.
"Kami tidak mempunyai apa-apa dan rumah kebajikan inilah tempat tinggal kami. Alhamdulillah, kami terselamat dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun bekalan air serta elektrik kerap terganggu selepas bencana itu.
"Kami juga bersyukur kerana bekalan makanan di sini masih mencukupi dan kami dapat makan serta minum seperti biasa. Selain itu, ramai yang datang melihat keadaan kami dan memberi sumbangan," katanya.
Meskipun berdepan situasi bencana kini, Hassan berkata, penghuni rumah kebajikan itu tetap saling menjaga dan melindungi keselamatan sesama mereka.
"Biasanya kanak-kanak yang masih kecil akan menangis apabila berlaku gegaran termasuk gempa susulan, dan kami sebagai abang akan menjaga dan melindungi mereka.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana kami dilindungi dan selamat. Rumah yang kami huni ini hanya mengalami kerosakan di bahagian bumbung. Namun, terdapat jiran yang meninggal dunia dan jasadnya ditemukan selepas dua hari gempa bumi berlaku," katanya.
Sementara itu, penjaga rumah kebajikan berkenaan, Abu Khalid Ahmad, 38, berkata beliau berada di tingkat bawah dan sedang bersiap untuk menunaikan solat subuh ketika insiden berlaku.
"Kebanyakan penghuni di sini adalah anak yatim dari Syria. Mereka datang ke Turkiye kerana berdepan peperangan di Syria, dan menetap di rumah ini sejak tiga tahun lalu.
"Ada dalam kalangan mereka masih mempunyai ibu yang tinggal bersama-sama di rumah ini, namun kebanyakan bapa mereka sudah meninggal dunia akibat peperangan.
"Saya sangat bersyukur kerana gempa bumi yang berlaku tidak memusnahkan rumah ini dan mereka masih ada tempat untuk berlindung. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana kehidupan mereka jika rumah ini musnah," katanya.
-BH Online
No comments:
Post a Comment