ANTAKYA Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengakui terdapat masalah dengan tindak balas awal kerajaannya terhadap gempa bumi yang dahsyat di selatan negara itu.
Malah, masalah itu mencetuskan kemarahan rakyat terutamanya mangsa-mangsa yang tercedera yang kecewa dengan kelewatan ketibaan dan tindak balas perlahan pasukan penyelamat.
Erdogan, yang akan bertanding dalam pilihan raya umum Turkiye pada Mei nanti berkata, dalam lawatan ke zon bencana, beliau dapati operasi kini berfungsi seperti biasa.
Beliau juga berjanji bahawa tiada sesiapa pun akan kehilangan tempat tinggal ekoran bencana itu.
Setakat ini, jumlah kematian yang dilaporkan di seluruh Turkiye dan negara jiran Syria meningkat melepasi 12,000 orang.
Mereka menunggu dalam kesedihan di sekitar timbunan runtuhan bangunan di mana keluarga dan rakan-rakan mereka masih tertimbus.
Pasukan penyelamat dikatakan masih menemukan beberapa mangsa yang masih hidup.
Tetapi, ramai penduduk Turkiye mengadu tentang kekurangan peralatan, kepakaran dan sokongan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap dan kadang kala mereka mendengar jeritan mangsa meminta pertolongan.
“Di manakah sebenarnya negara ini? Di mana mereka (penyelamat) selama dua hari? Kami merayu kepada mereka. Biar kami melakukannya sendiri, kami boleh mengeluarkan mereka,” kata salah seorang mangsa yang terselamat, Sabiha Alinak.
Terdapat aduan yang sama berlaku di negara jiran, Syria.
Duta Syria ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengakui kerajaan negara itu mempunyai kekurangan keupayaan dan kekurangan peralatan selain menyalahkan lebih sedekad perang saudara di negara berkenaan dan juga sekatan Barat. – REUTERS
No comments:
Post a Comment