Satu laporan polis dibuat parti Bersatu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan musuh politiknya dan Perikatan Nasional (PN).
Laporan polis dibuat Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris di balai polis Putrajaya yang mendakwa Anwar menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memulakan siasatan terhadap parti Bersatu dan pemimpin utamanya.
“DSAI (Anwar) telah menyalahgunakan kuasanya selaku PM-10 dengan menekan SPRM memulakan siasatan ke atas kepimpinan Bersatu dan membekukan akaun Bersatu serta mendakwa kepimpinan BERSATU di Mahkamah.
“Tindakan in bertujuan memberi persepsi yang buruk kepada Bersatu dan cuba menampakkan bahawa Fitnah dan ttohmahan mempunyai asas bagi menghancurkan PN,” menurut laporan polis dibuat Razali yang dilihat Agenda Daily.
Dalam laporan itu, Razali mendakwa Anwar pada 6 Disember 2022 lalu membuat kenyataan secara terbuka dengan menuduh kononnya PN menerima dana judi dan ia menjadi permulaan serangan bermotif politik terhadap Bersatu dan pemimpin parti.
“Dakwaan tersebut telah jelas adalan fitnah dan tohmahan palsu apabila dakwaan Rm600 bilion telah diturunkan kepada RM530 bilion sehingga ke RM92.5 bilion kemudiannya kepada RM4.5 bilion sehingga akhirnya kepada RM300 juta sahaja.
“Ini adalah bukti jelas menunjukkan wujudnya konspirasi jahat ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin, PN dan Bersatu,” katanya lagi.
Menurut Razali, dakwaan terhadap Muhyiddin dan Bersatu sehingga akaun parti dibeku adalah bermotif politik dan jahat, ia terbukti apabila pertuduhan yang dibuat terhadap Presiden Bersatu tidak melibatkan kemasukan wang ke akaun peribadi malahan tiada satu syarikat judi dikenalpasti memasukkan wang ke dalam akaun parti.
“Justeru pendakwaan ke atas TSMY adalah tidak wajar sama sekali dan jelas bermotifkan politik jahat.
“Tindakan pendakwaan yang agak tergesa-gesa ke atas Muhyiddin memberi gambaran buruk ke atas proses keadilan di dalam Negara oleh sebuah agensi penguatkuasaan,” katanya lagi.
Razali juga menggesa supaya siasatan terhadap Anwar kerana campur tangan untuk cuba mengenakan lawan politiknya dengan menggunakan agensi pihak berkuasa.
Dalam itu, Razali juga memaklumkan dipanggil ke balai polis Putrajaya untuk diambil keterangan berhubung himpunan aman yang diadakan di depan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu lepas.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment