PAS Selangor berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuntutan tersebut gagal dipatuhi.
PETALING JAYA: PAS Selangor menuntut New Straits Times (NST) memohon maaf secara terbuka selepas satu laporan akhbar berbahasa Inggeris itu disifatkannya berunsur fitnah dan berniat jahat kepada Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi.
Setiausahanya Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuntutan tersebut gagal dipatuhi.
Menurutnya, laporan bertajuk “PAS goes against Selangor Sultan saying Muslims can’t visit churches temples” dari portal tersebut yang dimuat naik pada 27 Mac dibuat dengan niat tidak baik dan berunsur fitnah.
“Ia bertujuan untuk memburukkan imej dan nama baik Ahmad Yunus Hairi merangkap Ahli DUN Sijangkang dan Ahli Parlimen Kuala Langat dan dengan tujuan untuk menjejaskan hubungan baik beliau dengan pihak Istana.
“PAS Selangor tidak pernah menyebut larangan terhadap orang Islam untuk melawat gereja atau kuil selain bagi maksud mempelajari agama dan kepercayaan lain dalam kenyataan media sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Ahad lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tiada apa yang menghalang umat Islam daripada mengunjungi tempat ibadat agama lain.
Bagaimanapun, baginda berkata kunjungan itu mestilah tanpa mengambil bahagian dalam sebarang upacara atau amalan agama berkenaan.
Sultan Sharafuddin juga dilaporkan menggesa ahli politik untuk “membaca dan membuat rujukan” sebelum mengulas kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) baru-baru ini bahawa haram bagi orang Islam mengunjungi rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, gereja dan gurdwara untuk mengenali agama lain.
Sambil menyifatkan pandangan Mais sebagai betul dan jelas, baginda berkata adalah baik untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham kerana terdapat undang-undang yang menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam.-FMT
No comments:
Post a Comment