KEPUTUSAN pemilihan pimpinan UMNO di peringkat pusat, bahagian dan cawangan selesai pada 19 Mac lalu.
Pemilihan untuk penggal 2023-2026 menyaksikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO selepas jawatan disandang tidak dipertandingkan.
Jawatan Naib Presiden pula disandang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
UMNO kemudiannya mengumumkan bekas Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Setiausaha Agung manakala Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik Ketua Penerangan yang baharu.
Saya melihat barisan kepimpinan baharu yang mendominasi UMNO mampu membawa anjakan serta lonjakan sokongan rakyat bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Percubaan menggugat kestabilan UMNO telah gagal setelah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengumumkan pemecatan Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar, manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama tiga yang lain digantung keahlian selama enam tahun.
Barisan kepimpinan baharu dilihat lebih segar dan kukuh dengan tekad dan aspirasi Presiden UMNO untuk melihat parti keramat orang Melayu ini kembali diyakini.
Kejayaan membina satu barisan kepimpinan mantap serta padu mampu memberi keyakinan semula kepada akar umbi untuk terus berkhidmat membawa agenda orang Melayu dengan lebih kemas dan tersusun.
Bahkan tidak mustahil UMNO akan kembali kukuh dan dihormati hasil kebijaksanaan Presiden parti bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan perpaduan.
Penyusunan kepimpinan dan jentera UMNO telah membuka ruang pemimpin baharu menggilap bakat dan ketokohan mereka setelah pimpinan terdahulu dipecat dan digantung.
Kesemua pimpinan baharu diharapkan akan bangkit membawa kemenangan UMNO dalam PRN seterusnya.
Perancangan disusun di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim saya lihat mampu menjadikan UMNO lebih kukuh dan diyakini rakyat.
Keyakinan Perdana Menteri memberikan portfolio pelbagai kementerian membuktikan kesungguhan untuk membantu meningkat imej UMNO di persada negara dan dunia.
Tindakan Anwar juga menunjukkan beliau ingin meletakkan UMNO pada landasan betul. Antara usaha terdekat adalah mengadakan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini.
Konvensyen itu akan menyaksikan 20 parti di dalam kerajaan perpaduan dengan empat gabungan utama akan berada di satu tempat untuk memperlihatkan solidariti dalam kalangan parti gabungan bagi menghadapi segala tentangan. – UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis
No comments:
Post a Comment