KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng hari ini bertindak memfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan pembatalan cukai dilakukan terhadap Yayasan Albukhary ketika beliau menjadi Menteri Kewangan antara 2018 hingga 2020.
Hari ini, pasukan peguam selaku mewakili Pengerusi DAP sebagai plaintif memfailkan saman fitnah itu menerusi firma guaman Tetuan Guok Partnership di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Presiden Bersatu sebagai defendan tunggal.
Sebelum ini, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan telah menghantar surat tuntutan untuk Muhyiddin menarik balik kenyataan dan memintanya memohon maaf dalam tempoh tujuh hari berhubung tuduhan mengaitkannya dengan pembatalan cukai kepada Yayasan Albukhary.
Guan Eng dalam penyataan tuntutan mendakwa Muhyiddin telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu dan dibebaskan dengan jaminan agensi penguatkuasaan itu pada sebelah petang.
Dakwa Guan Eng, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama yang diikuti pada 11 dan 12 Mac lalu di dalam Facebook miliknya dan kemudiannya diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Jelas tuntutan itu, kenyataan fitnah itu didakwa sengaja dibuat Muhyiddin selepas mengetahui semua perhatian media dan akhbar tertumpu kepadanya.
Oleh itu, ia bertujuan mencari publisiti murahan dan cuba mengalih perhatian awam, dakwa Guan Eng.
Katanya, kenyataan fitnah itu antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga berkata, kenyataan itu seolah-olah bermaksud beliau bersifat perkauman, anti-Melayu dan anti-Islam dengan sengaja menyasarkan Yayasan Al-Bukhary dan dirinya serta sengaja mensabotaj yayasan berkenaan.
Ini juga bermaksud menggambarkannya seorang pendendam dan bertindak dengan niat jahat dengan menyalahgunakan kuasa serta tidak cekap ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.
Justeru itu, plaintif menuntut Muhyiddin memohon maaf dan menarik kesemua kenyataan terbabit dan menyiarkan permohonan maaf dalam Facebook dan Twitter miliknya serta dalam beberapa akhbar dan portal berita di negara ini dalam masa tujuh hari dari tarikh penghakiman.
Selain itu, Guan Eng juga memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi punitif yang akan ditaksirkan dan ditentukan oleh mahkamah serta injunksi menghalang Muhyiddin daripada mengeluarkan atau menerbitkan semula kenyataan fitnah atau apa-apa perkataan fitnah yang serupa.
Muhyiddin sebelum ini mendakwa Guan Eng sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap keputusan mengenakan semula cukai ke atas Yayasan Albukhary.
Ujar Muhyiddin, selepas PH mentadbir negara pada Mei 2018, Lembaga Hasil Dalam Negeri enggan melaksanakan pengecualian cukai yang telah diberikan sebelum ini. -MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment