Jika kita imbas kembali, Pakatan Harapan pernah menjanjikan menyelesaikan isu tiket kapal terbang mahal khususnya ke Sabah dan Sarawak ketika musim perayaan.
Manifesto Pilihanraya Umum (PRU) lalu mungkin sekadar omongan kosong. Ini kerana isu ini menjadi topik yang dibualkan oleh hampir kesemua golongan perantau sekali lagi pada tahun ini.
Masing-masing akan pening kepala terutama mereka yang telah berkeluarga dan mempunyai anak yang ramai.
Ini bermakna, rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di merata negeri di Semenanjung, sama ada yang mencari rezeki atau bergelar pelajar perlu menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara untuk pulang ke kampung masing-masing.
Menggunakan perkhidmatan kapal terbang sangat berbeza dengan pengangkutan darat seperti bas, kereta api mahupun teksi.
Selain kosnya yang mahal, jumlah tiket kapal terbang yang disediakan juga sangat terhad dan terbatas.
Atas sebab itu, setiap perjalanan yang menggunakan perkhidmatan udara perlu dirancang agar tiada yang kempunan untuk balik kampung.
Seperti mana yang dilaporkan akhbar ini, tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak telah meningkat lebih 400 peratus menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri pada April ini.
Tahun lalu, ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergelar Perdana Menteri, beliau ada mengingatkan semua pengendali syarikat penerbangan domestik agar tidak mengambil kesempatan menaikkan tambang penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Dan untuk tahun ini, besarlah harapan seluruh perantau agar Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan lebih berkesan untuk menyelesaikan masalah ini, setidak-tidaknya untuk memastikan harga tiket tidak terlalu mahal.
Penyelesaiannya sangat jelas, iaitu memberi lebih banyak ruang kepada rakyat yang ketika ini terjejas akibat kos sara hidup yang tinggi untuk menikmati tiket penerbangan pada harga mampu milik.
Harus diingat bahawa rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung bukanlah golongan yang serba mampu atau kategori T20, tetapi mereka adalah pencari rezeki di negeri orang.
Lagipun, tiket kapal terbang yang ingin dibeli itu adalah bagi tujuan pulang ke kampung halaman dan bukannya untuk pergi melancong.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment