Kuala Lumpur: Perbuatan melakonkan watak yang tergelincir daripada agama serta mempermainkan akidah termasuk mengaku keluar Islam mahupun mengaku kafir adalah tindakan tidak dibenarkan dalam Islam.
Timbalan Dekan (Jaringan) Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, ia kerana tindakan berkenaan seolah-olah melambangkan seseorang itu mempromosikan perkara terlarang kepada masyarakat.
"Penerbit, pelakon mahupun penyedia kandungan perlu merujuk kepada mufti, mahkamah syariah atau pakar sebelum membuat sesuatu kandungan yang diterbitkan kepada masyarakat.
"Jika perkara itu sudah tersebar, mana-mana pihak terbabit perlu pergi ke jabatan agama atau pejabat mufti berhampiran untuk minta maaf dengan betul dan bukannya terus bergaduh di media sosial," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas mengenai status pelakon Islam dalam filem Mentega Terbang yang bertentangan dengan akidah.
Menurutnya, penerbit dan pelakon filem berkenaan perlu mengambil langkah betul bagi membersihkan nama mereka apabila perkara itu menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat.
"Tindakan betul yang perlu mereka ambil adalah mendapatkan nasihat daripada jabatan agama atau pejabat mufti kerana negara kita ada undang-undang, adat dan adab.
"Dari segi menentukan sama ada seseorang itu murtad atau tidak melalui perbuatan dilakukannya, ia ditentukan oleh mufti atau hakim mahkamah syariah," katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan kandungan filem Mentega Terbang didapati terdapat pertentangan jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.
Filem Mentega Terbang yang ditayangkan di platform penstriman digital mencetuskan kontroversi dengan memaparkan jalan cerita yang bertentangan dengan agama Islam dan dimainkan oleh pelakon beragama Islam.
Filem arahan Khairi Anwar dan diterbitkan Tan Meng Kheng ini mula ditayangkan melalui platform penstriman Viu pada 19 Januari lalu dengan skrip ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui.
-myMetro
No comments:
Post a Comment