Tangier: Jurulatih Maghribi, Walid Regragui memuji pasukannya sebagai pencipta sejarah selepas mereka mengulangi kejutan pada Piala Dunia tahun lalu dengan meraih kemenangan pertama ke atas Brazil di Tangier.
Singa Atlas itu muncul pasukan Arab pertama menewaskan juara dunia lima kali itu hasil jaringan Sofiane Boufal dan pemain gantian Abdelhamid Sabiri untuk kemenangan 2-1 Maghribi.
"Ia seperti saya bermimpi," kata Regragui kepada wartawan. "Kami mencipta sejarah. Kami tewaskan Brazil yang juga pasukan nombor satu ranking Fifa dan negara bola sepak."
Perlawanan awal pagi hari ini adalah yang pertama buat Maghribi sejak mereka mara ke separuh akhir Piala Dunia dan berlangsung di hadapan 65,000 penonton di Stadium Ibn Batouta.
"Untuk menjadikan keraian itu lebih cantik, kami perlu menang perlawanan ini dan kami berjaya melakukannya," kata pertahanan tengah, Romain Saiss.
Keputusan itu membuktikan kemajuan hebat yang dicapai Maghribi di bawah kendalian Regragui.
Mereka muncul pasukan Arab pertama mara ke suku akhir Piala Dunia tahun dan pasukan Afrika pertama layak ke separuh akhir selepas menewaskan Belgium, Sepanyol dan Portugal.
Brazil tumbang di tangan Maghribi
Tangier: Maghribi mengejutkan Brazil 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa, hari ini sekali gus menyaksikan pasukan Afrika utara itu mencatat kemenangan pertama ke atas juara dunia lima kali itu.
Pemain tengah, Sofiane Boufal, bekas bintang Southampton tetapi kini bermain dengan Al Rayyan di Qatar, meletakkan Maghribi di depan selepas 29 minit permainan selepas menerima hantaran Bilal El Khannous.
Kapten Brazil, Casemiro menyamakan kedudukan pada minit ke-67 apabila rembatan lemahnya gagal diselamatkan penjaga gol, Yassine Bounou.
Bagaimanapun pemain tengah yang dipinjamkan ke Sampdoria, Abdelhamid Sabiri meledak gol kemenangan dengan sepakan voli pada minit ke-79 sekali gus Maghribi membuktikan kejayaan muncul negara Arab atau Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu bukanlah satu kebetulan.
"Saya tidak mengatakan kami kurang persefahaman, ia mengenai bagaimana untuk mempraktikkan idea jurulatih baharu.
"Saya fikir kami bermain dengan baik dan melakukan segala-galanya semampu yang mungkin untuk menang," kata Casemiro yang beraksi bersama Manchester United.
Hanya 10 daripada 23 pemain yang membawa Brazil ke peringkat suku akhir Piala Dunia lalu beraksi di Maghribi untuk perlawanan itu.
Neymar yang cedera sekali lagi kehilangan jersi nombor 10 miliknya yang disarung oleh pemain muda Real Madrid, Rodrygo.
Brazil juga menyaksikan penampilan jurulatih sementara, Ramon Menezes yang menggantikan Tite yang meletak jawatan selepas tersingkir di peringkat lapan terakhir Piala Dunia.-AFP
-myMetro
No comments:
Post a Comment