Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata tindakan yang dikenakan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu perbuatan kotor yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Bercakap kepada media di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini (Khamis, 9 Mac 2023) beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota juga berpendapat tindakan itu bermotifkan politik dan balas dendam.
“Saya rasa ianya satu tindakan tidak wajar kerajaan yang membuat pendakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin atas apa juag kesalahan hanya sehari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan (Bersatu).
“Ini sudah pasti satu tindakan balas dendam daripada kerajaan dan sesuatu yang malang serta amat dikesalkan bahawa inilah kerajaan yang sepatutnya menjadi kerajaan reformis, tetapi melakukan pendakwaan terpilih.
“Jadi saya fikir ini adalah sesuatu yang tidak wajar… ini adalah langkah politik… langkah selektif terhadap Muhyiddin,” katanya.
Beliau turut hadir bersama ahli dan penyokong PN untuk memberi sokongan moral kepada Presiden Bersatu yang dipanggil SPRM pagi ini.
Pemimpin Bersatu menjadi sasaran pendakwaan bermotif politik oleh SPRM dan akaun parti juga sudah dibekukan sehingga hari ini.
Pada 20 Februari, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor serta seorang lagi pemimpin parti ditahan dan didakwa SPRM.
Sebarang langkah untuk mendakwa pemimpin utama Bersatu dijangka akan memanaskan lagi suhu politik negara.
Pemimpin PN sebelum ini memberi amaran pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan penahanan secara besar-besaran bagi memburuk-burukkan pemimpinnya menjelang PRN di enam negeri di mana lima daripadanya mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), PH-BN hilang undi Melayu kepada PN.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata tindakan itu juga adalah cubaan untuk melumpuhkan Bersatu serta PN kerana gabungan PH-BN tidak mempunyai cara lain untuk mengalahkan PN pada Pilihan Raya Negeri di enam negeri akan datang.
“Dan matlamatnya hanya satu.. iaitu cuba melumpuhkan Bersatu dan Perikatan Nasional… kerana mereka (PH-BN) tidak mempunyai cara lain untuk mengalahkan kita dalam Pilihan Raya Negeri yang akan datang di enam negeri itu.
“Jadi ini adalah kerja kotor mereka (PH-BN),” katanya.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment