KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili Puteri Sarah, mendedahkan di Mahkamah Rendah Syariah hari ini, bahawa pelakon itu pernah dipukul suaminya yang juga pengarah, Syamsul Yusof.
Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata insiden itu menjadi punca anak guamnya keluar dari rumah didiami pasangan itu, namun kembali ke kediaman itu selepas dipujuk mentua.
"Syamsul berpoligami tanpa meminta izin (Puteri Sarah). Anak guam lama tak balik rumah kerana keadaan jadi terlampau dan luar kawalan.
"Menyentuh mengenai prospek bersama (tidak bercerai), ia sebenarnya sifar. Langkah dicadangkan defendan (Syamsul) supaya rujuk Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) adalah membuang masa.
"Permohonan cerai sudah dua bulan. Jadi saya merayu supaya mahkamah tidak membuang masa," katanya ketika sebutan kes permohonan perceraian oleh Puteri Sarah terhadap Syamsul di hadapan Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas.
Bagaimanapun, hakim mengarahkan Syamsul atau nama penuhnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, dan Puteri Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin, 38, dirujuk kepada JKP atas tiada keadaan luar biasa untuk tidak berbuat demikian.
Sebutan kes seterusnya ditetapkan pada 10 April ini untuk mengetahui laporan JKP.
Sebelum ini, Puteri Sarah dilaporkan berkata, tuntutan cerai dibuat selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan perdamaian, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand.
Puteri Sarah menegaskan keputusan memfailkan perceraian adalah muktamad dan tidak akan menarik balik hasratnya walau apapun berlaku.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3.
-BH Online
No comments:
Post a Comment