Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berkata larangan mengajar atau bersyarah terpakai kepada bekas senator atau bekas wakil rakyat, namun masih aktif politik.
PETALING JAYA: Bukan sahaja wakil rakyat dan ahli Dewan Negara, individu memegang jawatan dalam parti politik juga dilarang mengajar atau bersyarah di masjid dan surau bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Pengarahnya, Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata calon bertanding dalam mana-mana pilihan raya, serta individu bersara sebagai ahli Dewan Negara serta wakil rakyat, namun masih aktif dalam kegiatan politik juga termasuk dalam kategori dilarang berbuat demikian.
Katanya, ia selaras ketetapan diputuskan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak menerusi pekeliling berhubung garis panduan bertarikh 6 Mac 2023 yang diedarkan kepada semua pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh Perak.
“Larangan mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau berdaftar dengan JAIPk terpakai kepada individu yang tidak mempunyai sebarang tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak.
“Larangan turut terpakai kepada ahli Dewan Negara, Dewan Rakyat, dan Adun mana-mana negeri, mereka yang punyai jawatan dari mana-mana parti politik, calon bertanding dalam pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil, serta individu sudah bersara sebagai ahli dewan atau wakil rakyat namun masih aktif dalam kegiatan politik,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya, jawatankuasa kariah masjid dan surau dikehendaki sentiasa memantau aktiviti mengajar atau bersyarah agar ia selari dengan matlamat pengajaran dan syarahan pengajaran iaitu pengukuhan ilmu serta pemupukan perpaduan masyarakat.-FMT
No comments:
Post a Comment