GEORGE TOWN – Larangan penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau di seluruh negeri Pulau Pinang dibenarkan bagi azan dan iqamah.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri pada Julai 2015 dan disahkan pada 23 serta 24 Ogos tahun sama.
Jelas beliau, bagaimanapun, keputusan ini tidak diwartakan sebaliknya diserah kepada budi bicara jawatankuasa kariah bagi mempertimbangkan sama ada keputusan berkenaan sesuai dilaksana di masjid atau surau masing-masing.
“Masyarakat Islam atau agama lain di negeri ini perlu diingatkan mengenai hasil mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang yang melarang penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau di seluruh negeri ini selain bagi azan dan iqamah sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian diminta mengulas mengenai video tular mengaitkan isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan yang dibawa pada mesyuarat Badan Pengurusan Bersama (JMB) di sebuah kondominium di Tanjong Tokong di sini.
Mengulas lanjut Salim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa isu terbabit telah selesai.
“Pejabat Agama Daerah Timur Laut sudah berbincang dengan JMB bersama pihak pengurusan surau terbabit dan beberapa persetujuan sudah dicapai, jadi isu ini juga sudah selesai,” jelas lagi.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Surau Saidina Umar, Akmal Jabir berkata, pihaknya menuntut permohonan maaf daripada JMB susulan sekali lagi membangkitkan isu laungan azan.
Jelasnya, isu sama pernah dibangkitkan pada 2021 dan kini sekali lagi diusulkan JMB pada Mac lalu.
“Video tular membabitkan isu azan itu berlaku pada 11 Mac dan baru saja tular. Namun isu ini bukan pertama kali berlaku di kawasan perumahan ini dan kami bimbang ia mempunyai unsur perkauman.
“Sehubungan itu kami menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada pengerusi berkenaan,” katanya.
Tambah Akmal, surau berkenaan terletak kurang 200 meter dari blok pertama kondominium yang mana 70 peratus daripada penghuninya adalah Muslim. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment