Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memanggil pengendali portal hiburan, Rotikaya untuk diambil keterangan berhubung sebuah artikel yang melibatkan artis dalam program Himpunan Madani baru-baru ini di Kedah.
Menurut sumber dalam industri media, pengendali portal Rotikaya dan penulis artikel tersebut dipanggil untuk memberi keterangan pada pagi ini (Selasa) di ibu pejabatnya, Cyberjaya berhubung penulisan artikel melibatkan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Bagaimanapun tidak pasti sama ada Rotikaya akan disiasat atau didakwa ekoran penulisan artikel yang juga sudah diturunkan daripada laman portal tersebut.
Artikel itu antara lain memetik Siti sebagai berkata beliau menerima undangan untuk memeriahkan majlis tetapi tidak menyangka “ia seperti majlis politik”.
Semakan mendapati artikel tersebut telah dipadam oleh portal hiburan itu.
Artikel tersebut ipercayai merujuk kepada acara Himpunan Madani Kedah 2023 anjuran kerajaan persekutuan yang diadakan pada 28 April lalu, sehari sebelum Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang juga di negeri itu.
Susulan itu, penyanyi terkenal itu menafikan membuat kenyataan berkenaan acara sambutan Aidilfitri di Kedah “seperti majlis politik”.
Dalam hantaran di Instagram semalam, Siti turut meminta sebuah portal hiburan agar tidak menyebarkan kenyataan tersebut.
“Saya tak pernah buat kenyataan ini,” katanya.
Selain Siti, penyanyi Amy Search juga menjadi artis undangan di acara itu, yang menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri kerajaan campuran memberi ucapan.
Sementara itu, portal hiburan Rotikaya memohon maaf kerana atas artikel yang dibuat berdasarkan hantaran Facebook yang palsu.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment