KANGAR: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli membuat laporan polis mendakwa fotonya digunakan pihak tertentu disyaki 'scammer' bagi tujuan promosi sindiket pelaburan patuh syariah yang dipercayai palsu.
Laporan dibuat di Balai Polis Kangar kira-kira jam 5 petang tadi dengan kehadiran beliau ditemani Setiausaha Akhbarnya, Mohamad Azreen Jumri.
Mohd Shukri ketika ditemui, berkata pihaknya menerima maklumat pada 14 April lalu mengenai penggunaan foto beliau secara haram oleh individu tidak bertanggungjawab melalui laman sosial Facebook.
"Tujuan laporan polis dibuat selepas melihat foto saya digunakan 'scammer' yang menggunakan identiti 'Dale Friedman' mengenai satu pelaburan yang didakwa patuh syariah yang tular di Facebook.
"Pada mulanya, saya mengeluarkan kenyataan pada satu hantaran di media sosial untuk menafikan pembabitan dalam pelaburan itu, selain memaklumkan bahawa foto saya digunakan secara haram oleh individu berkenaan.
"Namun apabila hantaran itu tetap berterusan, maka saya terus membuat laporan polis bagi memastikan tidak ada sesiapa yang tertipu atau terpengaruh berhubung pelaburan berkenaan," katanya.
Mohd Shukri berkata, sindiket pelaburan palsu itu tidak hanya menggunakan foto beliau, malah beberapa pimpinan PAS lain seperti Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad dan Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad turut menjadi mangsa.
"Banyak foto pimpinan kanan PAS dimanipulasi serta digunakan dalam sindiket pelaburan ini dan diharapkan dengan laporan polis dibuat, ia akan menghentikan penyebaran hantaran pelaburan palsu ini.
"Ini perbuatan jahat ahli sindiket dan mungkin ada yang sudah terkena (tipu) menerusi pelaburan ini disebabkan jumlah diminta itu bermula serendah RM300 sahaja dan ia memudahkan orang ramai tertarik untuk masuk dan menyebabkan mereka ditipu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, mengesahkan laporan polis itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
-BH Online
No comments:
Post a Comment