Kuala Lumpur: Perpisahan dalam perkahwinan sesuatu menyakitkan. Malah, tiada mana-mana pasangan mengimpikan ikatan suci dibina atas dasar cinta berakhir perceraian.
Apatah lagi, perkahwinan itu diserikan dengan cahaya mata. Jadi, apabila broken family berlaku, pasti kegembiraan dan kebahagiaan anak terkesan. Sebagai ibu bapa, kebahagiaan zuriat paling utama.
Di kala segelintir pasangan memilih bertelagah dalam urusan penjagaan anak selepas bercerai, ada juga pasangan mengambil jalan perpaduan dengan mengekalkan hubungan baik antara bekas suami isteri.
Antaranya, pelakon Norman Hakim, Abby Abadi, Fizo Omar, Sabree Fadhil, Aznah Hamid, Fizi Ali, Shakilla Khoriri, Aziz M Osman, Datin Nor Aliah Lee, Didie Alias, Nora Danish, Fasha Sandha, Datuk Seri Eizlan Yusof dan ramai lagi.
Ikuti laporan Metro Ahad mengenai bagaimana hubungan baik membabitkan selebriti dan bekas pasangan masing-masing terpelihara demi anak tanpa memerlukan penyelesaian di mahkamah terutama hak penjagaan selepas bercerai.
'Jaga aib bekas suami'
"Saya bercerai dengan bekas suami, Allahyarham Ridzuan Hashim pada 2002 ketika usia 30-an dan lima anak kami masih kecil. Apapun, punca perceraian kami sampai sekarang saya simpan dan tidak diketahui anak.
"Penting untuk saya jaga aib dan imej bekas suami di hadapan anak. Ini kerana, saya mahu mereka membesar dengan baik, gembira, beri tumpuan pada pelajaran dan tetap berasa kasih sayang ibu bapa walaupun sudah berpisah.
"Saya bersyukur semua anak dengan arwah, kini berjaya dalam pelajaran dan kehidupan mereka. Bahkan, hubungan keluarga besar kami sangat rapat sekitar dua tahun ini sebelum arwah meninggal dunia pada 4 Mei lalu. Saya dan arwah sepakat kami kekal baik demi anak.
"Malah, ketika kami baru bercerai, saya pernah tinggalkan anak dengan arwah selama setahun kerana saya perlu masa untuk bekerja dan menstabilkan ekonomi sebelum anak berada dalam jagaan saya," katanya.
Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohd@ Ali, 51, berkata, dia bersyukur dapat membuang perasaan benci dan dendam terhadap bekas suami.
"Selepas cerai, anak memang keutamaan kami dan saya tidak pernah halang arwah bertemu mereka. Dia boleh datang bila-bila masa ke rumah saya untuk berjumpa dan membawa anak bersiar-siar," katanya.
Allahyarham Ridzuan dan Didie mendirikan rumah tangga pada 1991. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nurdhaniyah, 30, Muhammad Dhanial, 29, Nur Dinie, 27, Nur Dayini Ahza, 25, dan Nur Diyana, 24.
Pada Mei 2009, Didie bertemu jodoh dengan bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Norisham Ismail. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Dayyan, 9.
Menurut Didie, dia tidak meletakkan istilah hubungan bapa kandung dan bapa tiri kepada anaknya. Katanya, mereka patut berasa bertuah kerana berpeluang mempunyai dua bapa yang sama-sama penyayang dan boleh menumpang kasih.
'Hanya cakap soal anak'
"Hubungan saya dengan bekas isteri, Shakila Khoriri biasa-biasa saja. Kami cuma berkomunikasi soal anak, Ameena Sofia, empat tahun, ketika saya mahu mengambil dan menjaganya kerana kami ikut jadual.
"Selama dua tahun perceraian ini, Ameena okey saja dan dia faham dengan giliran yang harus diikuti. Walaupun Ameena kecil, tapi dia tahu kenapa ibu bapanya tidak hidup bersama.
"Saya berterus-terang dengan anak, kenapa keadaan kami begini. Alhamdulillah, saya tengok dan dapat rasa Ameena matang serta memahami situasi. Saya sentiasa beri perhatian kepadanya ketika giliran saya.
"Begitu juga bekas isteri beri perhatian kepada Ameena apabila gilirannya. Kami suka bawa anak bersiar-siar atau bercuti dan itu sangat menggembirakan Ameena. Dia (Ameena) tetap rasa kasih sayang ibu bapa walaupun berpisah," katanya.
Fizi, 34, berkata, dia dan Shakilla bercerai secara baik dan perkara utama dibincangkan ialah kebahagiaan anak. Katanya, mereka sepakat memastikan Ameena mendapat kasih sayang daripada ibu bapa meskipun tidak hidup bersama dan membawa haluan sendiri.
Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 16 Julai 2017 selepas empat tahun bercinta. Namun, jodoh tidak panjang kerana tiada persefaham dan mereka bercerai pada 2021 lalu. Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan.
Jangan culas lunas nafkah
"Alhamdulillah, hubungan saya dengan bekas isteri, Nor Aliah Lee kekal baik sehingga kini. Begitu juga dengan suaminya. Malah, kami tiada masalah dalam hak penjagaan anak ketika bercerai pada 2007 lalu.
"Bukan saja dengan Nor Aliah, tapi hubungan saya bersama bekas isteri pertama dulu juga baik kerana kami ada seorang anak, Puteri Nurul Fatehah. Dengan Nor Aliah, saya dikurniakan empat cahaya mata.
"Dalam soal hubungan baik dengan bekas isteri, saya buang ego sepenuhnya kerana kasih sayang terhadap anak dan mahu mereka membesar dengan baik. Ditambah, saya tidak mahu anak berasa kekurangan kasih sayang antara kami disebabkan perceraian itu.
"Kami berbincang sebaik-baiknya urusan penjagaan anak. Tidak perlu berebut, masing-masing tiada masalah berjumpa serta ambil anak. Semua kami selesai secara matang.
"Kami tidak guna khidmat peguam kerana tahu tanggungjawab masing-masing. Apa yang penting, hubungan kami rapat dengan anak," katanya.
Aziz, 61, berkata, dia tidak culas memberi nafkah anak. Katanya, sebagai bapa dia sedar menyediakan nafkah anak adalah tanggungjawab utama.
"Tapi, suami Nor Aliah sangat baik kerana dia juga membantu urus perbelanjaan anak saya dan tidak berkira langsung. Saya berterima kasih di atas jasa itu," katanya.
Aziz dan Nor Aliah berkahwin pada 19 Januari 1992 dan bercerai pada 2007 selepas 15 tahun hidup bersama. Mereka dikurniakan empat anak iaitu Puteri Nur Asyiqin, 30, Putera Nur Iman, 28, Puteri Nur Aisya, 23, dan Puteri Nur Ain, 20.
Aziz kini bahagia bersama isteri, Puteri Lily Lokman yang dinikahi pada 2010 dan mereka dikurnia dua cahaya mata. Manakala, Nor Aliah mengahwini Datuk Mohamad Zekri Ibrahim juga pada 2010.
Saling bermaafan formula lerai sengketa
Penceramah bebas juga juara Imam Muda musim kedua (IM2), Hassan Adli meminta dan menyarankan pasangan suami isteri bercerai supaya saling memaafkan dan terus menjalin hubungan baik demi kebahagiaan anak.
Hassan atau nama sebenarnya Mohd Hassan Adli Yahaya@ Yahuza, 38, berkata masih menjadi tanggungjawab utama kepada pasangan suami isteri yang bercerai memastikan zuriat hasil perkongsian hidup mendapat kasih sayang berterusan.
"Mana ada pasangan berkahwin dan ada anak mahu bercerai. Tapi, ujian dan masalah dalam rumah tangga setiap pasangan itu berbeza. Malah, mereka yang membuat keputusan bercerai itu mungkin yang terbaik.
"Bagaimanapun, sama ada bekas suami atau isteri yang dapat hak penjagaan itu perlu memastikan hubungan anak dan ibu bapa kekal baik. Jangan putuskan kasih sayang selepas tidak hidup bersama lagi.
"Anak perlu perhatian daripada ibu bapa, terutama ketika mereka kecil dan sedang membesar. Jadi, kalau jodoh tidak panjang, jangan bergaduh dan tunjuk contoh tidak baik di depan anak.
"Cuba maafkan bekas pasangan walaupun tidak mudah melakukannya. Buang ego, buang benci dan marah, redalah dengan takdir. Malah, utamakan perasaan anak agar mereka terus merasakan kasih sayang ibu bapa," katanya.
Menurutnya, anak itu hak bersama pasangan suami isteri walaupun bercerai. Katanya, cuba berbincang dan usah berebut hak penjagaan kerana kedua-dua pihak tetap boleh menjaga bersama.
-myMetro
No comments:
Post a Comment