Sesi mengambil keterangan penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) hari ini gagal selepas pegawai jabatan itu didakwa cuba menimbulkan pelbagai karenah birokrasi.
Ustaz Wadi ditemani dua peguamnya, Mohd Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh tiba di pejabat JAIPs sekitar jam 10 pagi sebelum dibenarkan memasuki pejabat kira-kira jam 10.30 pagi.
Namun Mohd Jamil mendakwa sepanjang satu jam berada di premis berkenaan, pelbagai kerenah birokrasi cuba ditimbulkan oleh pegawai JAIPs hingga mereka memutuskan untuk beredar tanpa diambil keterangan.
“Kami diberitahu ia adalah sesi temubual antara JAIPs dengan anak guam saya dan mereka tidak membenarkan mana-mana pihak selain Ustaz Wadi untuk hadir bersama dalam sesi itu.
“Namun semasa kami berada di situ, mereka (JAIPs) menyatakan pula sesi itu adalah sebagai sesi siasatan jadi kami tidak pasti sesi ini sebenarnya yang mana satu sama ada sesi siasatan, temu bual, perjumpaan mesra atau sembang santai kerana kami tidak pasti.
“Apabila kami bertanyakan bahawa sesi yang dijalankan itu termaktub dalam enakmen apa? Pegawai JAIPs itu juga gagal memberi penjelasan malah kami pula ditanya mengapa kami hendak tahu mengenai itu (Enakmen) dan ini kami rasakan sebagai satu proses yang tidak munasabah,” katanya lapor Harian Metro.
Ustaz Wadi dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penyertaannya pada program ‘Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar’ yang diadakan di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, di Kangar pada 28 Mac lalu tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Mohd Jamil berkata ketika di premis tersebut juga Ustaz Wadi hanya boleh membawa seorang peguam untuk bersama pada sesi tersebut.
“Ini juga adalah sesuatu perkara yang tidak munasabah kerana anak guam saya mahukan dua peguam yang dilantik olehnya mengiringinya jadi kami tidak nampak sebab mengapa kehadiran kami sebagai peguam perlu dihalang oleh JAIPs.
“Kami pohon JAIPs supaya menghormati hak Ustaz Wadi seperti akses kepada kehadiran peguam dalam sesi berkenaan. Ini adalah prosedur biasa di mana peguam sememangnya mempunyai hak mewakili anak guamnya untuk bersama dalam sesi temubual atau sesi proses siasatan,” katanya.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment