JAKARTA: Walaupun menerima wang pampasan berjumlah lebih 6.4 bilion rupiah (RM1.9 juta), ia masih tidak mampu menggembirakan hati seorang nenek bernama Sarumi dari Desa Pabelan.
Lapor Kompas.com, warga emas berumur 65 tahun itu mengaku sedih dan bingung setelah menerima jumlah besar wang pampasan dari pemerintah berikutan penjualan tanah untuk pembangunan tol Yogyakarta-Bawen.
Sarumi berkata, dia masih berasa sedih mengenangkan rumah dan premis perniagaannya seluas 920 meter di Jalan Magelang-Yogyakarta, Desa Pabelan akan dirobohkan tidak lama untuk pembinaan jalan tol berkenaan.
Di lokasi itulah juga dia memulakan perniagaan menjual lesung batu, batu nisan dan pelbagai kraf batu Merapi sejak 25 tahun lalu.
“Perasaan selepas menerima wang pampasan bercampur-baur. Sukar meramal kerana saya masih tidak mempunyai tempat baharu. Saya juga harus memulakan perniagaan dari sifar lagi,” katanya.
Selepas bersetuju menerima wang pampasan berkenaan, Sarumi tidak lagi berhak ke atas tanah dan rumah yang didiaminya selama berpuluh tahun lalu dan perlu berpindah segera mencari tanah atau rumah baru di lokasi lain.
Bagaimanapun, sehingga kini dia mengaku tidak tahu lokasi tepat untuk berpindah dan tinggal di rumah anaknya.
Ketua Badan Pertanahan Nasional (BPN) wilayah Magelang, A Yani berkata, pembayaran wang pampasan di Desa Pabelan merupakan peringkat pertama daripada keseluruhan 239 bidang tanah yang terlibat dalam projek pembangunan jalan tol Yogyakarta-Bawen.
Peringkat pembayaran seterusnya, dirancang pada Selasa depan dengan jumlah yang diluluskan Agensi Pengurusan Aset Negeri (LMAN) melibatkan 18 bidang tanah.-UTUSAN
No comments:
Post a Comment