JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia yang dijangka dibuka pada pertengahan tahun ini sememangnya menjadi punca pelbagai khabar angin berlegar di media sosial ketika ini.
Setelah mengetahui kebolehan skuad selepas 13 perlawanan, kesemua pasukan pastinya tidak sabar-sabar untuk meningkatkan kualiti pasukan dengan melakukan pelaburan.
Di samping mencari import yang berkualiti, pemain tempatan yang jarang diturunkan juga semestinya mencuri perhatian memandangkan kebolehan mereka untuk menyesuaikan diri tidak boleh dipersoalkan lagi.
Namun, dengan terdapat kira-kira dua bulan sebelum tempoh tersebut dibuka, masih ada waktu bagi mereka melakukan pencarian lebih teliti.
Ia bagi mengelakkan mereka melakukan pembelian kurang tepat sehingga menyebabkan kerugian, baik di dalam mahupun di luar padang.
Antara pasukan yang dijangka sedang sibuk melakukan persiapan ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila memulakan musim 2023 dengan kekok.
Walaupun berada di tangga kelima, tiga kekalahan yang dialami mereka semestinya sukar untuk diterima, terutamanya ketika dimalukan pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan 0-6.
Prestasi tidak menentu itu pastinya menghalang mereka untuk kembali melayakkan diri ke pentas Asia, lebih-lebih lagi selepas pasukan tersebut tersingkir daripada saingan Piala FA.
Nafuzi perlu mendapatkan beberapa pemain lagi untuk baki musim 2023. — Facebook/KDA FC
Oleh itu, dengan sumber kewangan yang kukuh, mereka pastinya lebih tertarik untuk membawa masuk beberapa pemain bagi memperkukuhkan lagi skuad sedia ada.
Tetapi, memandangkan kesemua sembilan kuota import sudah diisi, terdapat kemungkinan besar mereka akan membawa masuk anak tempatan meskipun terdapat jurang kualiti antara mereka.
Baru-baru ini, terdapat khabar angin kencang yang mengatakan skuad Sang Kenari bakal menerima kepulangan dua bekas bintang yang tidak didedahkan identiti mereka.
Melihat kepada pasukan-pasukan liga tempatan, ramai bekas pemain kelab Utara tanah air itu sedang berkhidmat dengan ada daripada mereka bergelut untuk mendapatkan minit permainan.
Jadi, melihat kepada situasi berkenaan, lima bekas pemain KDA FC sepertinya sesuai untuk kembali menyarung jersi kelab itu yang kini berada di bawah bimbingan Nafuzi Zain.
1. Farhan Roslan (Sabah FC)
Melihat kepada skuad Sabah FC musim ini, mereka sepertinya merupakan salah satu pasukan terbaik dengan kualiti serta hubungan baik antara pemain.
Pencapaian mereka juga cukup membanggakan apabila pasukan Borneo tersebut sedang selesa berada di kedudukan keempat liga hasil 20 mata yang dikumpul.
Tambahan pula, kesemua rekrut jendela perpindahan pertama mereka cukup membanggakan, termasuk pemain sayap kelahiran Brazil, Jailton Paraiba.
Prestasinya yang cukup cemerlang terus meletakkanya sebagai antara tonggak skuad Sang Badak meskipun masih belum menjaringkan sebarang gol.
Farhan merupakan antara pemain terbaik pernah dihasilkan akademi KDA FC.
Kecemerlangan Jailton dikatakan sebagai punca seorang lagi pemain sayap yang berusia 26 tahun, Farhan Roslan terus disisihkan daripada pasukan meskipun sudah pulih daripada kecederaan.
Kelincahannya untuk melarikan diri daripada pemain pertahanan lawan sememangnya cukup menarik yang mana dia diberikan peluang beraksi dalam skuad Sang Badak sebanyak 11 kali dalam Liga Super 2022.
Namun, dengan kepercayaan pihak kejurulatihan semakin menipis, Farhan pasti akan terbuka untuk mencari destinasi baharu bagi menghidupkan semula kariernya.
KDA FC pastinya menjadi tumpuan utama memandangkan pemain sayap bersusuk tubuh kecil berkenaan meluangkan hampir tujuh tahun di kelab Utara tersebut.
Tambahan pula, dengan Farhan pernah membantu skuad Sang Kenari menjulang beberapa kejuaraan, penyokong Hijau Kuning pasti terbuka untuk menerima kepulangannya.
2. Syafiq Ahmad (JDT)
Sukar untuk menafikan bahawa khidmat penyerang kelahiran George Town, Pulau Pinang, Syafiq Ahmad masih dirindui rata-rata pengikut setia KDA FC.
Dia yang sebelum ini pernah dipinjamkan selama separuh musim daripada JDT sempat menabur khidmat sekali lagi apabila menjaringkan dua gol dalam hanya sembilan penampilan.
Namun, dengan skuad Harimau Selatan masih mendambakan khidmatnya, peminat setia KDA FC terpaksa rela untuk berpisah buat kali kedua.
Bagaimanapun, musim ini, masa depan Syafiq bersama JDT sekali lagi menimbulkan persoalan apabila dia terus bergelut untuk mendapatkan minit permainan.
Adakah Syafiq bakal kembali buat kali ketiga bersama skuad Sang Kenari? — Facebook/KDA FC
Dua penampilan yang masing-masing diberikan dari bangku simpanan sememangnya menjadi satu 'mimpi ngeri' buatnya untuk kembali mendapatkan rentak di atas padang.
Tambahan pula, khabar angin yang mengatakan skuad Harimau Selatan bakal menerima sentuhan penyerang kelahiran Colombia, Radamel Falcao pasti akan terus memberi kesan buatnya.
Jadi, dengan KDA FC juga memerlukan seorang pemain untuk mengetuai jentera serangan, mereka pasti akan sekali lagi cuba untuk membawa masuk pemain berusia 27 tahun itu.
Di samping itu, dengan pemilik kedua-dua kelab sebelum ini pernah bertemu, ia sekali gus mencetuskan ura-ura bahawa Syafiq akan kembali menyarung jersi KDA FC.
3. Khairul Helmi Johari (Kelantan FC)
Musim ini, Kelantan FC muncul sebagai pasukan dengan rekod pertahanan tercorot selepas dibolosi sebanyak 34 kali dalam hanya 10 perlawanan Liga Super.
Pencapaian mengecewakan itu dikatakan punca skuad The Red Warriors (TRW) hanya mencatatkan satu kemenangan, sekali gus meletakkan mereka di tangga kedua tercorot.
Jadi, pihak pengurusan kelab pasti akan memilih untuk melepaskan beberapa pemain yang dianggap tidak memberi sebarang sumbangan, lebih-lebih lagi di posisi pertahanan.
Antara nama yang semestinya dipetik untuk digugurkan ialah bek tengah berusia 35 tahun, Khairul Helmi Johari yang juga dikenali sebagai Keon.
Khairul pernah diberi kepercayaan untuk memakai lilitan kapten bersama Kedah.
Ketika mereka berada dalam kancah Liga Perdana pada 2022, pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu merupakan antara tonggak utama mereka berdasarkan pengalaman dan kebolehannya.
Namun, musim ini, khidmatnya lebih kerap diperlukan di bangku simpanan dengan dia hanya merekodkan satu penampilan buat pasukan Pantai Timur berkenaan.
Jadi, sekiranya Kelantan FC memilih untuk menamatkan kontraknya, KDA FC perlu bertindak pantas dengan membawanya masuk dengan status pemain senior.
Selepas 10 perlawanan, skuad Sang Kenari masih bergelut untuk mencari seorang pemain pertahanan tengah yang berkualiti bagi digandingkan dengan import kelahiran Serbia, Bojan Ciger.
Walaupun kudratnya semakin merosot, kebolehan serta pengalaman Keon untuk menyekat serangan lawan masih boleh diberikan pujian.
4. Azmeer Aris (Penang FC)
Pemain berusia 23 tahun, Azmeer Aris Nor Rashid sebelum ini tiba di KDA FC dari Penang FC dengan satu harapan yang cukup tinggi pada jendela perpindahan pertama musim lalu.
Namun, dengan gaya permainan bekas pengendali, Aidil Sharin Sahak sepertinya tidak sesuai buatnya, pihak pengurusan Sang Kenari memilih untuk menghantarnya pulang ke jiran terdekat mereka itu.
Meskipun merekodkan 16 penampilan Liga Super bersama skuad Sang Kenari musim lalu, Nafuzi memilih untuk menggantikannya dengan bekas pemain Melaka United, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman.
Tetapi, dengan pertahanan kiri itu terlalu kerap melakukan kesilapan sehingga dilayangkan kad merah sebanyak dua kali, perubahan pastinya diperlukan di posisi berkenaan.
Azmeer (kanan) sukar mendapatkan peluang bersinar bersama KDA FC. — Facebook/KDA FC
Jadi, Azmeer dikatakan sebagai pilihan terbaik memandangkan dia mempunyai satu rekod yang cukup baik bersama skuad Harimau Kumbang musim ini.
Setelah diturunkan sebanyak sembilan kali dalam Liga Super 2023, pemain berkenaan boleh dianggap sebagai antara tonggak pasukan yang berada di kedudukan ketujuh ketika ini.
Bagaimanapun, adakah Nafuzi akan tertarik untuk mendapatkan khidmat Azmeer memandangkan pemain tersebut jarang memberi ancaman dari segi serangan.
Tambahan pula, dengan bek kiri berkenaan terus menjadi pilihan utama pemangku jurulatih, Manzoor Azwira Abd Wahid, adakah dia akan tertarik untuk sekali lagi mencuba nasib bersama KDA FC?
5. David Rowley (Sri Pahang FC)
Sri Pahang FC muncul sebagai satu pakej kejutan musim ini apabila mereka masih belum mencatatkan sebarang kekalahan selepas 10 aksi Liga Super.
Pencapaian menakjubkan itu membolehkan mereka berada di kedudukan ketiga Liga Super hasil 22 mata yang dikutip dengan rekod baik dari segi serangan mahupun pertahanan.
Jadi, pihak pengurusan kelab pasti akan memilih untuk mengekalkan sebahagian besar skuad yang banyak memberi sumbangan sepanjang kempen kali ini berlangsung.
Namun, dengan mereka juga difahamkan akan melakukan beberapa perbelanjaan, pasti skuad Tok Gajah akan mengucapkan salam perpisahan buat sebilangan pemain.
Rowley boleh diturunkan sebagai pemain tengah skuad Sang Kenari musim lalu. — Facebook/Kedah FA
Antara yang dikatakan bakal membawa haluan tersendiri adalah pemain tengah, David Rowley yang hanya beraksi sebanyak enam kali setakat ini dalam Liga Super.
Ia semestinya satu rekod yang sedikit mengecewakan, lebih-lebih lagi apabila kekurangan peluang untuk beraksi itu bakal menyekatnya daripada bermain di Piala Asia bersama skuad kebangsaan.
Oleh itu, sekiranya dia memilih untuk meraih lebih banyak minit permainan, pemain berusia 33 tahun itu perlu mencari jalan baharu dalam kariernya.
KDA FC pasti merupakan salah satu kelab terbaik untuk menerima khidmatnya memandangkan kedua-dua pihak pernah bersama-sama sebelum ini.
Tambahan pula, kebolehan Rowley untuk beraksi sebagai pemain tengah akan memberikan pilihan buat Nafuzi untuk digilirkan dengan kapten pasukan, Manuel Ott. — Majoriti
No comments:
Post a Comment