Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih membuat tuduhan terhadap Perikatan Nasional (PN) berhubung isu dana judi walaupun sudah dijawab di Parlimen baru-baru ini.
Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata tuduhan oleh PMX itu semata-mata bertujuan untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap gabungan itu dan bermotifkan politik, ia walaupun sehingga hari ini tiada bukti yang didedahkan oleh pihak berkuasa mahupun Anwar sendiri.
Katanya, PAS mempunyai dana yang mencukupi tanpa perlu dibiayai pihak lain, berikutan derma daripada ahli-ahli PAS sendiri.
“Ia (isu dana judi) dari awal hanya isu politik sahaja untuk timbulkan persepsi. Persepsi ini ada yang betul, ada yang tak betul.
“PAS ini, duit ahli kita dok (ada) dalam poket, mai (datang) derma… mai derma. Kita haramkan judi di negeri ini, takkan tauke judi nak bagi derma kat kita. Nak buat aktiviti (judi) tak boleh, pergi tanya di negeri yang menghalalkan itu,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri (JKTN) di Wisma Negeri.
Media sebelum ini melaporkan Anwar mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.
Namun, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan.
Bagaimanapun Anwar mempertahankan kenyataannya bahawa sebahagian dana PRU dimiliki PN yang juga parti Melayu dan Islam, diperoleh hasil syarikat perjudian.
Mengulas lanjut, Sanusi mencabar Anwar supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaannya itu dengan segera.
“Perdana Menteri pun tak boleh siasat sendiri, hanya agensi (SPRM) boleh buka fail. Fail dari agensi bukan dari dia.
“Asas kepada semua dakwaan itu, Sila kemukakan bukti. Sebab dia yang tuduh, jadi dia kena buktikan, beban bukti terletak pada yang tuduh. Sila buktikan,” katanya.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment