Kota Tinggi: Jarak usia 26 tahun bukan halangan untuk Muhammad Danial Ahmad Ali menyulam cinta dengan gurunya, Jamilah Mohd hingga ditakdirkan berumah tangga.
Muhammad Danial, 22, tidak menyangka akan terpikat dengan Jamilah, 48, hingga berani menyuntingnya sebagai isteri.
Bagaimanapun, takdir menentukan mereka menjadi suami isteri dan kisah pasangan berkenaan mendapat perhatian selepas Muhammad Danial berkongsi video pendek menunjukkan peralihan fasanya daripada seorang pelajar menjadi suami kepada Jamilah.
Muhammad Danial yang bekerja di syarikat air dan menetap di Felda Air Tawar 2, di sini, berkata, dia berkenalan dengan Jamilah ketika di tingkatan tiga iaitu pada 2016 sewaktu isterinya ditugaskan mengajar subjek Bahasa Melayu.
Meskipun menyenangi keperibadian Jamilah, Muhammad Danial mengakui hubungan mereka ketika itu tidak lebih daripada sekadar guru dan pelajar tanpa ada perasaan terhadap satu sama lain.
"Saya anggap dia (isteri) sebagai cikgu saja walaupun menyenangi sikapnya yang penyayang dan rapat dengan pelajar tidak kira daripada kelas depan mahupun belakang.
"Setahun juga isteri mengajar kelas saya namun kami terputus hubungan selepas saya masuk ke tingkatan empat.
"Kami ada terserempak di bilik guru dan saya ada menyapanya dan bertanya khabar tetapi setakat itu saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Muhammad Danial, keinginan mengenali hati budi Jamilah mula ada selepas isterinya menghantar kiriman ucapan sempena ulang tahun kelahirannya ketika dia di tingkatan lima.
"Sejak itu, kami jadi rapat dan timbul perasaan sayang hingga saya berasa untuk cuba dekat dengannya.
"Pada satu hari, saya beranikan diri untuk luahkan perasaan namun isteri tolak dengan alasan faktor dan statusnya sebagai guru.
"Akan tetapi, saya enggan berputus asa dan cuba cari jalan dengan menghubungi dan menghantar kiriman WhatsApp hingga pada satu hari, dia tidak mengangkat panggilan serta membalas mesej saya.
"Tindakannya yang mendiamkan diri itu membuatkan saya nekad ke kawasan perumahannya walaupun tidak tahu lokasi yang tepat dan ditakdirkan saya jumpa rumahnya kemudian terus datang serta berterus terang dengannya," katanya.
Menurutnya, isterinya masih menolak untuk menjalin hubungan serius dengannya ketika itu kerana tidak yakin sejauh mana ia akan bertahan.
"Saya tak mengalah dan cuba memujuknya hingga dia lembut dan terima saya.
"Sejak awal lagi, saya sudah berterus terang dengan keluarga dan Alhamdulillah, kedua belah pihak beri restu serta tidak menghalang.
"Berkat restu mereka, kami sepakat untuk berkahwin dan perancangan awalnya (kahwin) pada 2019 kemudian 2020 tetapi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka tarikh pernikahan ditangguhkan ke 25 November 2021.
"Kami nikah di Masjid Jamek Bandar Kota Tinggi dan ada buat majlis persandingan cuma kecil-kecilan saja dengan menjemput keluarga serta kenalan terdekat," katanya yang merahsiakan hubungan daripada rakan sekolah hingga ramai terkejut dengan perkahwinannya.
Muhammad Danial bersyukur kerana dikurniakan jodoh pada usia muda walaupun dapat pasangan lebih berusia.
Katanya, usia hanya angka dan dia akan cuba sehabis baik untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami.
"Syukur Allah permudahkan setiap urusan saya daripada awal sampai sah menjadi suami.
"Banyak lagi yang saya perlu belajar dan saya berasa bertuah kerana isteri banyak membantu memberi nasihat malah kami sering bertukar pandangan bagi memastikan rumah tangga kekal harmoni," katanya yang terkejut selepas video dimuat naik di TikTok meraih tontonan tinggi hingga tular di laman sosial.
Sementara itu, Jamilah berkata, sejak berpisah dengan bekas suaminya pada 2007, fokusnya hanya untuk bekerja dan tidak menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki atau terfikir mencari pengganti.
"Memang ada yang nak kenal tetapi saya tak mahu malah puas saya tolak dan jauhkan diri daripada suami sekarang selepas dia meluahkan perasaannya.
"Bagaimanapun, saya tak dapat elak kerana Allah sudah tetapkan dia jodoh saya.
"Suami datang dengan keyakinan dan orangnya bersungguh malah tidak rahsiakan hubungan kami dengan keluarganya jadi itu antara sebab saya terima juga lamarannya," katanya.
-myMetro
No comments:
Post a Comment