KUALA TERENGGANU: Seorang EXCO kerajaan negeri membayangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu akan dibubarkan bulan depan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata penggal DUN negeri akan berakhir selewat-lewatnya akhir bulan depan secara automatik.
Bagaimanapun, katanya, tarikh sebenar pembubaran DUN akan diputuskan kepimpinan negeri.
"Penggal pemerintahan kerajaan negeri akan tamat bulan depan jika pembubaran tidak dilakukan DUN akan terbubar secara automatik akhir bulan depan.
"Setakat ini kita tidak dimaklumkan tarikh sebenar pembubaran DUN, tetapi usaha ke arah itu, termasuk penetapan tarikh pembubaran sedang dilakukan kepimpinan," katanya kepada media selepas merasmikan program Ukhuwah Aidilfitri 2023 anjuran kolaborasi bersama 100 jenama perniagaan Pantai Timur di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Nurkhuzaini yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Besut berkata parti itu sudah bersiap siaga dan sedang menunggu masa untuk mengaktifkan jentera.
"Sasaran kita pada PRN yang akan diadakan adalah memenangi kerusi lebih banyak atau menyapu bersih semua 32 kerusi DUN," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala bakinya iaitu 10 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).
Pada Februari lalu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata DUN Terengganu dijangka bubar sebelum 30 Jun untuk memberi laluan kepada PRN.
-BH Online
No comments:
Post a Comment