SUNGAI PETANI: Menteri Besar Kedah Sanusi Nor sepatutnya menumpukan isu melibatkan rakyat negeri ini daripada berterusan mencetuskan kekeliruan terhadap kedaulatan Pulau Pinang, kata Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri dalam negeri berkata, tumpuan Sanusi perlu terarah menyelesaikan gangguan bekalan air di negeri ini dan membantu kerajaan persekutuan membasmi kemiskinan di Kedah.
“Lebih baik untuk masa depan rakyat Kedah jika kita tumpu kepada isu produktif berbanding membangkitkan isu yang sudah lama selesai.
“Janggal saya mendengar menteri besar buat perkara itu,” katanya selepas merasmikan program MyLesen B2 bersama Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
“Sebaliknya, beliau tetap membangkitkan isu seperti hak Kedah, mendakwa Pulau Pinang milik Kedah, menuntut pampasan untuk itu, dan mahu menghentikan bekalan air ke Pulau Pinang.”
Dalam pada itu, Loke berkata, ahli politik seperti Sanusi perlu sedar Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara.
“Beliau tidak memahami Perlembagaan Persekutuan. Saya cadangkan beliau beli buku (Perlembagaan) dan baca,” katanya.
Dalam Perlembagaan, Pulau Pinang disenaraikan sebagai satu daripada 13 negeri dalam persekutuan.
Semalam, selepas menandatangani perjanjian sempadan darat dan maritim antara Kedah dan Perlis, Sanusi sekali lagi mendakwa Kedah berhak ke atas Pulau Pinang.
“Jadi tak dak la sempadan Kedah-Pulau Pinang itu, sempadan negeri kita dok sebelah pulau sana (Balik Pulau), dengan Perak mungkin ada. (sempadan Kedah-Pulau Pinang) nak ukur kat mana, nak pakai warta nombor berapa,” katanya memetik Sinar Harian, semalam.
Bahagian pulau Pulau Pinang dan Province Wellesley (kini Seberang Perai) dipajak oleh Kesultanan Kedah kepada British, pada 1791 pada harga 10,000 dolar Sepanyol.
Mengikut sejarah, menyatakan Syarikat Hindia Timur akhirnya memperoleh tanah itu daripada Sultan Kedah, sebagai balasan mendapat perlindungan ketenteraan dan bayaran tahunan untuk selama-lamanya.
Dalam bayaran tahunan, yang kini dikenali sumbangan khas, dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM10 juta setahun oleh Putrajaya, pada 2018.
Sanusi bagaimanapun berkata menganggap sumbangan khas itu sebagai “bayaran pajakan” dan meminta ia dinaikkan kepada RM100 juta memandangkan “kemajuan” Pulau Pinang.-FMT
No comments:
Post a Comment