KUALA LUMPUR – Diskriminasi pemerintah antara faktor kenapa kadar pembangunan di tiga negeri yang ditadbir oleh Pas dikatakan perlahan.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq berkata, Kelantan, Terengganu dan Kedah mengalami masalah itu sejak tiga dekad lalu selepas 1991.
Ujar beliau, sepanjang tempoh itu berlaku sekatan peruntukan oleh Barisan Nasional (BN) kepada tiga negeri yang mempunyai majoriti orang Melayu itu.
“Veteran DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya menyatakan Kelantan, Terengganu, dan Kedah mengalami kadar pembangunan paling perlahan di Malaysia dalam tiga dekad yang lepas.
“Jawapan untuk beliau ialah pembangunan di tiga negeri ini berada pada kadar yang rendah adalah disebabkan diskriminasi pemerintah.
“Sebelum ini berlaku sekatan peruntukan kepada negeri majoriti Melayu ini yang dilakukan oleh BN, yang dahulunya ditentang oleh Kit Siang juga, tetapi kini telah menjadi teman rapat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bekas Penasihat DAP itu dalam tulisan blognya Khamis lalu mempersoalkan, adakah perkara itu terjadi kerana negeri itu ditipu oleh perompak yang “memberi dan menerima rasuah”?
Tulis beliau, dalam serangan terkininya, Presiden Pas, (Tan Sri) Abdul Hadi Awang menuduh orang Melayu sedang dipermain-mainkan dan ditipu akibat daripada kealpaan dan kejahilan mereka dan sedang menjadi mangsa politik negara, dibelenggu dengan rasuah, kemerosotan moral dan perpecahan dalam kalangan mereka sendiri.
“Dia mengutuk orang Melayu yang bekerjasama dengan orang bukan Islam dan bukan Melayu yang dituduhnya sebagai “perompak terbesar” yang memberi dan menerima rasuah,” tulis beliau lanjut.
Tulisan beliau itu dibalas oleh Muhammad Irsyad dengan mendakwa, apa yang dilakukan BN dahulu seakan diulangi oleh Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kawan baik Kit Siang.
“Hinggakan Menteri Besar Terengganu terpaksa bersuara dengan penuh kesopanan di depan Anwar dalam Majlis Raya Madani di Terengganu semalam, menyampaikan harapan rakyat agar Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) diturun mengikut jadual.
“Lazimnya duit DKKP akan disalurkan pada Mac dan September, malangnya hingga kini bulan Mei masih tidak disalurkan.
“Apakah kawan baik Kit Siang, PMX mahu mengulangi apa yang BN lakukan? Jika ya, maka jawapan kepada persoalan Kit Siang, yang menyebabkan negeri-negeri malay-belt ini mundur adalah diskriminasi pemimpin peringkat persekutuan,” katanya.
Muhammad Irsyad mencabar Kit Siang jika benar-benar prihatin terhadap tiga negeri malay-belt ini, beliau perlu nasihatkan Anwar agar segera salurkan hak milik rakyat Terengganu.
“Janganlah hanya membela negeri PH sahaja. Lihatlah juga negeri lain sebagai pembangkang. Hormatilah pilihan rakyat yang tidak memilih PH dan BN, barulah anda layak bersuara dan digelar negarawan,” katanya. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment