KUALA LUMPUR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 25 mata asas kepada 3.00 peratus memberi kesan kepada peminjam sedia ada, terutamanya mereka yang mengambil pilihan kadar faedah terapung.
Pensyarah Kanan Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan, berkata kebanyakan peminjam ketika ini tidak memahami konsep pinjaman mereka, sama ada kadar faedah tetap dan terapung.
Kadar faedah tetap, jelasnya, bersifat tidak berubah sepanjang tempoh pinjaman dan peminjam tahu dengan tepat seberapa banyak yang perlu dibayar secara ansuran bulanan setiap bulan.
"Ia paling sesuai untuk peminjam yang tidak mahu sebarang kejutan terhadap komitmen bulanan," katanya kepada BH.
Beliau berkata, kadar faedah terapung adalah berdasarkan kadar rujukan seperti Kadar Asas Standard (SBR), Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) yang boleh berubah sepanjang tempoh pinjaman.
Katanya, kadar rujukan ini dikawal oleh bank atau pasaran dan boleh berubah pada bila-bila masa serta akan mempengaruhi pengiraan faedah pinjaman.
Sebagai contoh, seorang individu membeli rumah pada harga RM300,000. Pada kadar faedah yang sebelumnya, individu berkenaan membayar RM1,992 sebulan kepada bank, berdasarkan empat peratus kadar faedah kepada bank.
"Namun, dengan kenaikan 25 mata asas ini, peminjam perlu membayar sebanyak RM2,060. Berlaku kenaikan di sini bagi setiap pinjaman menggunakan kadar faedah terapung," katanya.
Mohamad Khair berkata, kenaikan OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu sebenarnya adalah sejajar dengan keadaan ekonomi global di mana kuasa ekonomi utama turut menaikkan kadar faedah masing-masing.
"Langkah itu boleh menyebabkan peningkatan dalam sumber pendapatan bagi pelabur yang mencari pulangan lebih tinggi dalam deposit dan bon, di samping menarik lebih ramai pelabur asing ke Malaysia," katanya lagi.
Malah, beliau menegaskan, langkah menaikkan OPR juga salah satu usaha bagi mengekang inflasi daripada terus melonjak.
"Namun, dari sudut yang lain, pihak pengeluar dan peniaga juga akan terkesan dari kenaikan OPR ini atas sebab kenaikan harga sewa, bayaran bulanan pinjaman serta kenaikan barang mentah lain," katanya.
Beliau menjangkakan kesan penurunan inflasi daripada kenaikan OPR agak minimum dan sekiranya ada kenaikan lagi dalam masa terdekat, ia akan memberi impak yang besar kepada peminjam.
Mohamad Khair berkata, pinjaman isi rumah Malaysia pada Disember 2021 adalah 89 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), memberikan gambaran jumlah hutang isi rumah sebenarnya adalah besar.
"Impak domino daripada kenaikan sekali lagi kadar faedah (jika ada) dalam masa terdekat, dijangka menjadi lebih besar daripada kenaikan kali ini. Justeru, orang ramai disarankan tidak menambah hutang atau pinjaman dalam masa terdekat.
"Ini kerana dengan pemulihan ekonomi di peringkat global dan domestik, kadar faedah dijangka hanya dikekalkan atau dinaikkan," katanya.
-BH Online
No comments:
Post a Comment