Parti Gerakan menyifatkan tindakan Perdana Menteri (PM) Malaysia ke-10 melantik anaknya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM, sebagai anak beranak menjaga wang negara.
Naib Presidennya Baljit Singh berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sewajarnya melantik Nurul Izzah ke jawatan itu kerana terdapat lebih ramai individu yang layak memegang portfolio berkenaan.
“Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh dianggap seperti anak beranak jaga wang negara.
“Orang ramai akan mempersoalkan motif melantik anak perempuan sendiri sedangkan di Malaysia masih ramai bakat untuk mengisi kekosongan itu. Walaupun secara pro bono tetapi persepsi adalah yang utama. Bila masalah kroni dan nepotisme akan tamat di Malaysia???”
“Jangan bawa amalan parti anak beranak seperti yang diamalkan oleh Parti Keadilan Rakyat dan DAP dalam pentabiran kerajaan kononnya perpaduan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Baljit Singh ia juga bertentangan dengan perjuangan Anwar sebelum ini mengenai urus tadbir baik, yang menghalang amalan nepotisme dalam pemerintahan.
Baljit menambah, apa perbezaan keluarga Anwar dengan keluarga bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melantik anak perempuannya yang juga ahli perniagaan, Ivanka Trump sebagai penasihatnya pada 2017.
“Kalau dulu rakyat menggelar Najib Razak sebagai Donald Trump Malaysia.
“Kini saya merasakan sudah boleh ditukar kepada Anwar Ibrahim,” jelasnya.
“Rakyat masih ingat semasa berkempen Anwar sering berhujah mengenai anak orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban sebagai anak dia. Sekarang sebagai Perdana Menteri dia memilih anak sendiri.”
Nurul Izzah menjadi perhatian selepas memberitahu media bahawa Anwar melantik beliau sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan di Kementerian Kewangan sejak 3 Januari lalu.
Bagaimanapun beberapa pihak termasuk daripada Pakatan Harapan (PH) sendiri tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut kerana menyifatkan ia sebagai satu bentuk amalan nepotisme yang tidak sihat.
Tidak pernah ada dalam pentadbiran Perdana Menteri sebelum ini melantik ahli keluarga untuk berada dalam kerajaan, bagaimanapun dalam kerajaan campuran PH dan Barisan Nasional (BN) ia dikecualikan.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sejak mula lagi selepas dilantik menjadi PM, Anwar sudah mengkhianati rakyat apabila melantik anak muridnya yang berdepan kes rasuah di mahkamah sebagai timbalannya demi untuk membalas budi sokongan yang diberikan.
“Kerajaan PH-BN pimpinan Anwar tidak bermula dengan langkah yang betul dari awal lagi. Janji tatakelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan tuduhan jenayah, termasuk rasuah di mahkamah, sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM),” katanya lagi.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment