Demonstrasi Solidariti Bantahan Penghinaan Agama Islam Oleh Ahli Politik Sweden berlangsung aman di ibu kota hari ini dengan kehadiran ratusan penyokong termasuk pemimpin daripada PAS dan Bersatu.
Ini susulan bantahan terhadap tindakan pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan yang bertindak membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sabtu lalu.
Antara pemimpin yang kelihatan adalah ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari; Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Zulkifli Ismail.
Perarakan peserta bantahan bermula selepas solat Jumaat tadi dari Masjid Asy-Syakirin, KLCC ke Kedutaan Sweden.
Dalam ucapannya, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menggesa kerajaan memanggil Duta Sweden ke Putrajaya bagi memberi penjelasan berkait tindakan biadab wakil rakyat negara itu.
Katanya, Duta Sweden perlu memberi surat tunjuk sebab dan jika gagal perlu dihalau keluar dari negara ini.
“Saya tahu kerajaan Sweden sudah pun mengeluarkan bantahan terhadap perbuatan ini tetapi itu masih tidak cukup. Individu berkenaan perlu dikenakan tindakan sekeras-kerasnya.
“Duta Sweden perlu dipanggil Putrajaya dan beri surat tunjuk sebab, sekiranya gagal memberikan penjelasan, mereka harus ditunjukkan jalan keluar dari negara kita, Malaysia,” katanya ketika berucap pada demonstrasi tersebut.
Dalam ucapan sama beliau menegaskan tindakan biadab Rasmus itu seolah-olah membakar jasa umat Islam di dunia ini.
“Kita hadir pada hari ini secara aman untuk menghantar memorandum bantahan kepada Kerajaan Sweden atas tindakan biadab ahli Parlimen mereka yang telah membakar mushaf al-Quran. Sesungguhnya membakar al-Quran seperti membakar jasad-jasad kita umat Islam.
“Maka kita datang pada petang ini utk mengingatkan kepada semua pihak terutama rakan-rakan di Sweden, ahli Parlimen biadab di Sweden dan kepada seluruh msyarakat antarabangsa bahawa tindakan membakar al-Quran boleh mengakibatkan protes dan tentangan daripada umat Islam di seluruh dunia.
“Bantahan ini tidak akan berhenti di sini selagi mana perbuatan itu tidak ditarik balik dan tidak dimohon maaf secara terbuka oleh individu berkenaan,” katanya.
Pada Ahad, Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan demikian dan menuntut kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment