DAP tidak menolak perpecahan dan krisis dalaman UMNO akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Pemimpin utama DAP, Dr P Ramasamy berkata langkah UMNO memecat dan menggantung pemimpin yang tidak sehaluan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyebabkan sokongan rakyat kepada PH terjejas, khususnya pengundi kaum Melayu.
“UMNO sudah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pemimpinnya. Apabila sesuatu berlaku dalam parti dan tindakan perlu diambil, ini saya rasa tidak berbeza dengan parti lain.
“Saya lihat UMNO sudah lama berpecah, sejak 1998. Isu pemecatan dalam UMNO ini juga sudah lama berlaku, sehingga tertubuhnya PKR dan BERSATU, yang kini kebanyakan pemimpinnya adalah serpihan UMNO.
“Ia terpulang kepada UMNO dan saya tidak mahu campur urusan kepemimpinan mereka. Namun, persoalannya, adakah ia (tindakan memecat dan menggantung beberapa pemimpin UMNO) wajar dibuat sekarang?” katanya dipetik laporan BH.
Ini bukan kali pertama Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu mengkritik UMNO, malah sebelum ini juga membidas keputusan parti itu yang tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi yang diputuskan semasa Perhimpunan Agung UMNO lalu.
Malah, Ramasamy juga mendakwa Zahid merupakan liabiliti kepada PH dan juga UMNO, kritikan itu menimbulkan kecaman pemimpin UMNO yang pro-Zahid yang membidasnya semula.
Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, tindakan UMNO itu juga dikhuatiri menjejaskan peratusan sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH), yang ketika ini adalah antara 10 peratus hingga 15 peratus.
Beliau yang juga EXCO Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Pulau Pinang, mengakui sokongan pengundi Melayu terhadap PH mencatatkan penurunan berbanding kepada Perikatan Nasional (PN), selain menyifatkan ia boleh berubah mengikut sentimen politik semasa.
Ditanya kewajaran UMNO bertindak demikian, Ramasamy berpendapat, kepemimpinan parti itu tidak mempunyai pilihan lain berikutan tindakan beberapa pemimpinnya yang dilihat seolah-olah cuba melakukan pemberontakan dalaman.
Beliau bagaimanapun mempersoal kewajaran UMNO hanya menggantung keahlian Datuk Seri Hishammuddin Hussein tetapi memecat pula Khairy Jamaluddin Abu Bakar walhal Ahli Parlimen Sembrong itu dikatakan antara individu yang menggerakkan Langkah Sheraton dan mengumpul sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Khairy hanya mencabar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menyatakan pelbagai perkara lain, termasuk menggunakan undi hantu dan saya pun kurang pasti akan kesahihan dakwaannya itu.
“Namun, kesalahan Hishammuddin lebih besar berbanding Khairy sebab dia antara orang di belakang Langkah Sheraton, selain menyokong Muhyiddin. Dia orang PN dalam UMNO,” katanya lagi.
Jumaat lalu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO, memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, susulan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan parti itu kerana kesalahan ketika PRU-15.
Selain itu, MKT UMNO turut menggantung beberapa ahlinya, termasuk Hishammuddin; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment