Lantikan Nurul Izzah sebagai penasihat sudah disahkan sendiri oleh bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi selepas laporan berhubung pelantikan itu mencuri tumpuan rakyat.
Anak perempuan Anwar yang sebelum ini digelar ‘puteri reformasi’ disahkan bapanya dilantik sebagai penasihat kanan kewangan dan ekonomi, namun persoalannya adakah itu ‘reformasi’ yang dimaksudkan hendak diperkenalkan oleh Perdana Menteri dalam pentadbirannya?
Sejak laporan berhubung pelantikan tersebut, reaksi orang ramai sama ada dalam media sosial dan juga orang politik khususnya adalah sangat negatif, malah tidak kurang juga pelbagai sindiran sinis dibuat terhadap kerajaan campuran.
Tidak kurang juga terdapat dikalangan orang ramai memainkan semula istilah ‘nepotisme’ yang popular sebelum ini di bibir Anwar dalam ceramahnya ketika mengkritik lawan politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan UMNO (sebelum menjadi sekutu politik).
Bagi anak muda, mungkin bait-bait ‘nepotisme’ mungkin sudah jarang kedengaran sekarang sejak Pakatan Harapan (PH) berkahwin dengan UMNO, tetapi bagi orang politik yang ‘season’ atau lama, itu adalah kata-kata yang amat sinonim dengan Anwar.
Semasa era reformasi ketika Anwar kuat melawan Dr Mahathir dan UMNO, pakcik dan makcik di kampung-kampung pun sudah mengetahui makna perkataan ‘bombastik’ yang sering dilontarkan oleh Presiden PKR itu, ketika itu masih belum ada telefon bimbit pintar dimana boleh dicari menerusi carian Google.
Kini selepas menjadi penguasa, nampaknya ‘nepotisme’ itu sendiri menjadi amalan dalam kerajaan campuran sekarang ini.
Malah, rakyat menyindir dengan tajam dalam media sosial dengan bertanya, adakah ini kerajaan anak beranak atau kerajaan yang mahu membantu rakyat seperti yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.
Ia satu harga yang mahal terpaksa Anwar tanggung apabila laporan berhubung lantikan anaknya itu mendapat perhatian umum, pentadbirannya kini diberi gelaran macam-macam sehingga pejuang siber mereka sendiri pun terkasima hendak menangkisnya.
Bagaimanapun, persoalan paling penting adalah perlukah Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kewangan dan ekonomi kepada bapanya kerana bukankan kerajaan sudah mempunyai Rafizi Ramli?
Rafizi Ramli yang dikenali sebagai pakar formula sudah dilantik menjadi Menteri Ekonomi, bukankah kerajaan boleh mendapatkan khidmat nasihat Timbalan Presiden PKR itu dalam mencari pendekatan yang terbaik untuk memulihkan ekonomi negara, mengapa perlu seorang lagi penasihat?
Jika Anwar berkata anaknya layak kerana mempunyai kelayakan pendidikan, persoalannya kini adakah Rafizi tidak layak untuk menjadi penasihatnya juga memandangkan portfolio yang dipegangnya itu juga berkaitan dengan ekonomi.
Malah, umum mengetahui Rafizi mempunyai banyak idea dan dilihat sebagai tokoh pemikir kepada PH sebelum ini, pelbagai formula dan kaedah untuk memulihkan ekonomi penuh dalam kepalanya, mengapa tidak digunakan sahaja nasihat daripada beliau?
Atau sebenarnya Anwar tidak mempercayai Rafizi untuk menasihatinya dalam isu-isu berkaitan ekonomi?
Bukankah menteri ekonomi boleh memberi nasihat ekonomi? “On the plus side” Izzah dan Rafizi memang rapat dan boleh menjadi kombinasi baik dan berkesan.
Tidak kisahlah jika Anwar mengatakan anaknya tidak menerima sebarang elaun bagi jawatan dilantiknya itu, tetapi persepsi rakyat tidak dapat dielakkan bahawa ini adalah sebuah kerajaan anak beranak.
Langkah ini hanya akan memberi persepsi pelbagai macam terhadap kerajaan dan apakah pembaharuan yang hendak dilakukan jika tidak bermula di pejabat Perdana Menteri sendiri.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment