Alor Setar: Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya semalam, apabila kerajaan negeri membuat keputusan tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mulai 1 Januari 2023.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah memantau dan memastikan semua premis perjudian terbabit mematuhi arahan yang diputuskan sejak November 2021 lalu itu.
"Semua penguat kuasa PBT diarah memeriksa kedai judi dan loteri di seluruh Kedah, bagi memastikan tidak ada yang dibuka hari ini, kita mungkin tidak tahu jika ada yang masih beroperasi.
"Semua lesen mereka telah tamat tempoh pada 31 Disember dan kita tidak lagi perbaharui lesen judi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 14 November 2021, mengumumkan Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian selain menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri itu.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelak mudarat lebih besar kepada penduduk negeri berkenaan selain bagi mencapai sasaran sifar judi.
Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan kontroversi apabila masyarakat bukan Islam mendakwa tindakan kerajaan negeri itu melanggar hak mereka sebagai rakyat Malaysia, sehingga menyebabkan Muhammad Sanusi meminta mereka memberi nombor ekor di negeri lain.
Sementara itu, tinjauan di sekitar bandar raya ini, mendapati semua premis perjudian ditutup, malah terdapat kedai yang ditampal notis penamatan operasi sepenuhnya bagi mematuhi arahan kerajaan negeri.
Seorang pekerja premis nombor ramalan yang ditemui berkata, semua perniagaan berkaitan perjudian atau pertaruhan di Kedah tidak lagi mendapat lesen operasi seperti dahulu.
"Bukan sahaja kedai di Alor Star, tetapi semua cawangan kedai kami di seluruh negeri ditutup mulai hari ini. Kerajaan tidak mahu bagi lesen, jadi kedai tidak boleh buka lagi.
"Saya rasa memang tidak ada lagi kedai judi di Kedah, semua syarikat perjudian kena tutup perniagaan, tidak ada lagi premis yang berani buka," katanya.
-myMetro
No comments:
Post a Comment