KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk mengekalkan harga sama seperti perlawanan peringkat kumpulan bagi tiket separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Ini bermakna, harga tiket bagi aksi separuh akhir pertama itu akan dijual RM30 bagi dewasa dan RM5 (kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun) bagi tempat duduk terbuka, RM50 bagi tempat duduk premium dan RM60 bagi tempat grandstand.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menjelaskan keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mempengerusikan mesyuarat khas bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM di stadium sejurus selepas perlawanan menentang Singapura, malam tadi.
Beliau berkata, ia sebagai tanda penghargaan kepada penyokong skuad Harimau Malaya yang memberikan sokongan padu kepada pasukan sepanjang kempen Piala AFF 2022.
Katanya, tiket bagi perlawanan separuh akhir pertama itu hanya akan dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula jam 3.00 petang ini dan tiada penjualan di kaunter.
"Sebagai perbandingan, harga tiket RM30 bagi tempat duduk terbuka ini sama seperti harga tiket perlawanan separuh akhir, Malaysia menentang Thailand pada Piala AFF 2018 dan adalah lebih rendah daripada harga tiket RM40 ketika perlawanan separuh akhir Piala AFF 2014, Malaysia melawan Vietnam.
"Bagaimanapun, hanya sejumlah 59,000 keping tiket yang akan dijual bagi perlawanan separuh akhir pertama, Sabtu ini memandangkan sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa 'dikosongkan' kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.
"Situasi ini tidak dapat dielakkan yang mana FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan aksi skuad Harimau Malaya di sepanjang kempen Piala AFF 2022 tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil.
"Diharap penyokong Harimau Malaya dapat meneruskan sokongan padu di Stadium Nasional pada perlawanan separuh akhir pertama menentang Thailand, Sabtu ini, jam 8.30 malam," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Skuad Harimau Malaya kemudian akan terbang ke Bangkok, Ahad ini bagi menghadapi perlawanan separuh akhir kedua menentang Thailand di Stadium Thammasat pada Selasa.
Selain itu, Azman turut menasihatkan penyokong supaya berhati-hati dengan pembelian tiket selain daripada secara dalam talian di www.tickethotline.com.my.
"Ini kerana, bagi perlawanan menentang Singapura semalam, FAM mendapati bahawa terdapat penjualan tiket palsu. FAM berharap perkara sedemikian tidak akan berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama ini dan tindakan keras akan diambil terhadap pelaku," katanya.
-BH Online
No comments:
Post a Comment