Pemimpin PH, BN usah jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul
BANGI, 3 Rejab 1444H, Rabu – Ketua Dewan Ulamak PAS membidas pandangan sinis Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung isu pemberian wang ketika pilihan raya.
Datuk Ahmad Yahaya menyifatkan Presiden UMNO itu jelas mempunyai niat mengelirukan orang awam.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyelar sikap ‘double standard’ Presiden PAS yang mempertahan tindakan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah.
Sementara Abdul Hadi menjelaskan, undang-undang telah menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen.
“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah, terpulang kepada dia,” katanya.
Mengulas perkara itu, Ahmad Yahaya berkata, di sana terdapat garis yang jelas di antara amalan rasuah dan politik wang dengan pemberian sedekah khususnya ketika kempen pilihan raya berjalan.
“Tuan Guru tidak pernah berdolak dalik dengan pandangannya. Apa yang dijelaskan itu telah nyata. Ia tiada kaitan dengan usaha menghalalkan amalan rasuah sebagaimana yang cuba ditohmah oleh Zahid Hamidi.
“Malangnya, Zahid Hamidi sengaja memutarbelitkan kenyataan tersebut supaya mereka dapat membakulkan rasuah dan sedekah dalam satu bahagian yang sama,” katanya.
Beliau berpandangan, Ahmad Zahidi sebenarnya lebih arif untuk membezakan elemen rasuah dan politik wang yang merosakkan masyarakat dengan pemberian sedekah.
Namun, malangnya beliau kelihatan masih keliru dan mengelirukan orang lain, kata Ahmad Yahaya.
“Saya ingin menegaskan bahawa sokongan luar biasa yang diterima PAS dan PN adalah lambang keyakinan rakyat terhadap PAS dan PN serta mesej Bersih dan Stabil yang ditampilkan begitu membekas. Rakyat tidak perlu menerima sogokan untuk memilih di antara kaca dan permata.
“Bahkan ia juga menjadi simbol penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan yang gagal dalam pemerintahan 22 bulan pasca PRU14 dan skandal rasuah yang membarah dalam Barisan Nasional,” katanya.
Tegasnya, ini adalah fakta yang sebenarnya cuba dinafikan oleh sesetengah pemimpin PH atau BN pada hari ini.
“Ironinya mereka sedang berusaha untuk mewajahkan setiap tindakan PAS dan PN dalam konteks rasuah dan politik wang. Tohmahan sedemikian sebenarnya menjauhkan PH atau BN daripada realiti sebenar.
“Saya juga ingin menasihatkan pemimpin PH atau BN supaya tidak menjadi ibarat seekor ketam yang mengajar anaknya berjalan betul.
“Selesaikan terlebih dahulu kes-kes rasuah yang sedang berjalan melibatkan pemimpin parti masing-masing barulah bercakap soal membanteras rasuah dalam kalangan rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment