Bekas ketua Pemuda Umno Malaysia menganggap tindakan lebih 100 ketua bahagian parti itu yang mahu presiden dan timbalan presiden mereka tidak dicabar dalam pemilihan akan datang sebagai suatu “kegilaan”.
Menyatakan perasaannya melalui media sosial hari ini, Khairy Jamaluddin berkata tiada sesiapa wajar membenarkan demokrasi dalam Umno dimatikan.
“Hentikan kegilaan ini.
“Saya rasa presiden seorang fighter (pejuang) yang tidak gentar menghadapi pencabar. Buka ruang pertandingan.
“Jangan matikan demokrasi dalam Umno,” katanya.
Mengiringi kenyataan Khairy ialah poster yang mempersoalkan langkah ketua-ketua bahagian terbabit yang menyokong agar dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan.
Pada imej berwarna merah itu ialah persoalan sama ada Umno itu adalah milik ketua-ketua bahagian saja atau sebaliknya.
“Apakah para perwakilan dan akar umbi tidak punya hak memilih ketua mereka,” katanya.
Malam tadi seramai 140 ketua Umno di peringkat bahagian menyatakan kebersamaan mereka untuk melihat jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan tahun ini.
Setakat ini Umno mesti mengadakan pemilihan parti sebelum 19 Mei, iaitu tarikh akhir dari tempoh enam bulan selepas PRU ke-15 yang diizinkan Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) kepada mereka.
Umno sepatutnya mengadakan pemilihan pada tahun lalu namun mereka membuat permohonan agar ia ditangguhkan bagi membolehkan parti memberi tumpuan kepada PRU.
Tetap sokong Anwar
Kenyataan itu menguatkan lagi kemungkinan Khairy – yang kalah dalam cubaannya merampas kerusi parlimen Sungai Buloh daripada PH pada 19 Nov lalu – akan mencuba untuk mendapatkan tempat dalam kepemimpinan tertinggi parti.
Bekas ahli parlimen Rembau itu pernah menyertai persaingan merebut jawatan presiden Umno pada Julai 2018 iaitu hanya lebih sedikit dari sebulan selepas parti itu mencatat sejarah tumbang kali pertama dalam PRU.
Bagaimanapun Khairy gagal dalam percubaan tersebut. Ia dimenangi Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi, manakala Mohamad Hasan memenangi jawatan timbalan presiden.
Mohamad kini merupakan ahli parlimen Rembau. Penyertaan Mohamad dalam PRU lalu untuk bertanding bagi kawasan parlimen menyaksikan Khairy diketepikan dari Rembau.
Beberapa hari lalu Khairy secara terbuka menyatakan, dia akan tetap memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim dan kerajaan sekarang jika berjaya memenangi jawatan presiden Umno.
Ia adalah salah satu isyarat yang jelas daripada Khairy mengenai cadangannya untuk bertanding dalam pemilihan parti tidak lama lagi.
-mykmu.net
No comments:
Post a Comment