Utusan Malaysia melaporkan jumlah itu berdasarkan kepada jangkaan pertambahan sebanyak 10,000 lagi kes individu muflis pada tahun ini selepas 20,258 kes dicatatkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 antara 2020 hingga November 2022.
Peningkatan kes bankrap boleh berlaku jika 1,000 rakyat muflis setiap bulan seperti yang berlaku pada 2018 dan 2019 ketika kadar OPR dinaikkan kepada 3.00 dan 3.25 peratus.
Langkah itu menyaksikan lebih 1,000 kes bankrap dicatatkan hampir setiap bulan, menjadikan sebanyak 16,482 kes pada 2018 dan 12,051 kes pada 2019 seperti dilaporkan Jabatan Insolvensi.
Situasi ketika ini diburukkan lagi dengan harga barang naik 10 peratus berdasarkan unjuran kadar inflasi yang diramal mencecah enam hingga tujuh peratus tahun ini.
Ia dijangka menyumbang kepada peningkatan kes bankrap dalam kalangan belia setelah individu berusia 35 hingga 44 tahun mencatatkan kes bankrap tertinggi sejak 2018 dengan 18,296 kes (37.50 peratus) diikuti kategori umur 45 hingga 54 tahun dengan 12,656 kes (25.94 peratus) dan kategori umur 25 hingga 34 tahun dengan 10,262 kes (21.03 peratus).
BERJANJI
Perkara itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang berjanji melaksanakan inisiatif baharu dan intervensi dalam usaha membantu golongan belia berdepan masalah muflis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif menjangkakan peningkatan kes bankrap tahun ini diburukkan lagi dengan kelemahan pihak bank menguruskan hutang peminjam.
Menurut beliau, terdapat institusi perbankan yang bertindak agresif terhadap peminjamnya dengan tidak memberi budi bicara.
“Kerajaan perlu meningkatkan kerjasama dengan pihak bank supaya hutang boleh diselesaikan dengan cara lebih baik kerana mereka perlu jangka bahawa jumlah peminjam meningkat pada masa akan datang.
“Ini tidak, ada yang bertindak melelong harta peminjam dan menjualnya dengan harga rendah begitu sahaja. Hampir setiap hari ada kes begini. Ini satu perkara yang amat serius kerana ramai sudah terseksa dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi.
BANKRAP
Oleh itu, beliau meminta kerajaan campur tangan dalam isu bankrap yang akan membelenggu lebih ramai rakyat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Kita minta tolong Perdana Menteri memainkan peranan beliau supaya berbincang dengan institusi perbankan melalui suatu kerjasama. Kalau bankrap, bank bukan dapat apa-apa. Lebih baik kalau peminjam bayar dalam 30 hingga 50 peratus daripada bankrap terus. Bankrap tak selesaikan apa-apa,” katanya.
Sebanyak 48,791 kes bankrap dicatatkan sejak 2018 dengan sebahagian besarnya meliputi kes pinjaman peribadi (20,603 kes) diikuti sewa beli kenderaan (7,046 kes), pinjaman perniagaan (6,839 kes), pinjaman perumahan (4,629 kes), hutang kad kredit (3,927 kes) dan keberhutangan lain (2,584 kes).
Sejak 2021, kebanyakan kes bankrap melibatkan hutang antara RM100,000 hingga RM499,999 (63.16 peratus) diikuti RM50,000 hingga RM99,999 (22.62 peratus).
Dalam pada itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, jika kadar OPR dinaikkan lagi bulan ini, bayaran pinjaman boleh terus meningkat berdasarkan kadar tahun lalu.
Menurut beliau, ia akan menyebabkan lebih ramai yang tidak dapat menanggung komitmen masing-masing sehingga akhirnya berdepan risiko bankrap.
“Kadar OPR akan memberikan kesan besar terutama kepada pinjaman kadar berubah dan pinjaman jangka panjang seperti pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi bernilai lebih RM100,000.
“Seperti tahun lalu, kenaikan kadar OPR dibuat empat kali menyebabkan kenaikan kadar bayaran kira-kira RM300. Ditambah dengan komitmen lain, jika sampai satu tahap peminjam tidak mampu, maka pemberi pinjaman boleh ambil tindakan memfailkan tuntutan terhadap peminjam, jadi memang ada risiko peningkatan kes bankrap tahun ini,” katanya.
-Wak Labu Farm
No comments:
Post a Comment