Kuala Lumpur: Memiliki kuasa beli dan cita rasa tinggi terhadap pelbagai model kenderaan mewah. Malangnya majoriti golongan ini didapati ingkar dan tidak mematuhi undang-undang.
Sifat ego ini dibuktikan menerusi eksperimen sosial dilakukan Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS).
Menerusi kenyataan dikeluarkan, 56 peratus kesalahan plat kenderaan fancy atau tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilakukan oleh pemilik kenderaan mewah.
Cent-GPS memaklumkan tinjauan dan eksperimen sosial terhadap kenderaan dengan nombor plat fancy dan cermin gelap haram di Lembah Klang dilakukan pihaknya sejak Mei lalu.
Tinjauan umum itu bagi mengenal pasti model kereta yang cenderung melanggar peraturan nombor plat dan cermin gelap ditetapkan JPJ.
"Kami berjaya memerhati sejumlah 1,256 kenderaan di beberapa kawasan utama sekitar Lembah Klang.
"Tinjauan mendapati masih ramai rakyat Malaysia yang melanggar peraturan (plat kenderaan) walaupun spesifikasi dan piawaian sudah ditakrifkan dengan jelas.
"Pasukan Cent-GPS ditempatkan di sekitar ibu kota sewaktu trafik sibuk pada hari bekerja bagi melakukan tinjauan itu. Daripada pemerhatian dilakukan, terdapat kenderaan yang mempunyai nombor plat dengan tulisan italic serta tidak langsung mempunyai jarak di antara huruf dan nombor.
"Susulan itu kami mencatatkan jenama dan model kereta berkenaan sewaktu melakukan pemerhatian berkenaan," kata kenyataan itu.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, lapan peratus daripada kereta melakukan kesalahan nombor plat kenderaan adalah kenderaan bernilai RM50,000 atau kurang pada harga pasaran.
"Sebanyak 13 peratus adalah kenderaan bernilai antara RM80,000 hingga RM120,000. Sebanyak 13 peratus lagi adalah kereta dengan harga antara RM120,001 hingga RM160,000.
"Namun sebahagian besar daripada kereta yang menggunakan nombor plat kenderaan fancy adalah kenderaan bernilai lebih daripada RM160,000 iaitu mewakili 56 peratus dari kenderaan dicatatkan," katanya.
Menurut kenyataan itu, Cent-GPS mengkategorikan data itu kepada kereta Continental (buatan Barat), Asian dan Malaysia.
"Kami mendapati 33.4 peratus daripada keseluruhan pemilik kenderaan dengan nombor plat fancy ini membabitkan kereta model Continental (seperti Mercedes, BMW, Audi dan sebagainya).
"Lima puluh satu peratus kereta pula melakukan kesalahan sama adalah model kereta dihasilkan pengeluar kereta Asia seperti Honda, Toyota, Hyundai dan sebagainya.
"Hanya 15.6 peratus kesalahan dilakukan kenderaan tempatan yang kebanyakannya membabitkan model Proton X70," katanya.
Kenyataan itu memaklumkan, daripada semua kenderaan menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi itu, sebanyak 58.5 peratus adalah kenderaan tergolong dalam kategori pendapatan T20 (kumpulan berpendapatan tertinggi dan pendapatan untuk isi rumah melebihi RM10,971 sebulan).
"Sementara itu, 25.6 peratus termasuk dalam pendapatan kategori M40 (kumpulan berpendapatan sederhana antara RM4,851 sehingga RM10,970) dan hanya 15.9 peratus dalam kategori B40 (pendapatan isi rumah di bawah RM4,850).
"Pengiraan ini dilakukan dengan mengandaikan bahawa setiap kenderaan yang melalui kaji selidik adalah dibeli menerusi pinjaman bank dengan tempoh lima tahun bayaran balik tanpa bayaran muka.
"Kami juga mengandaikan bahawa pemilik kenderaan ini adalah individu celik kewangan yang tidak akan membelanjakan lebih 24 peratus dari jumlah gaji bulanan untuk membayar ansuran kenderaan. Melalui cara mengenal pasti harga kenderaan, kami membuat anggaran pendapatan pemilik kenderaan dalam golongan B40, M40 atau T20," kata kenyataan itu.
Walaupun begitu, penting untuk dinyatakan bahawa pihak Cent-GPS tidak melakukan pemerhatian ini terhadap motosikal.
"Maka, tidak boleh disimpulkan dengan sebulat suara bahawa individu T20 adalah lebih cenderung melanggar undang-undang JPJ berkenaan nombor plat.
"Tambahan pula, terdapat juga kemungkinan besar bahawa kereta yang dinilai pada taraf T20 adalah dimiliki oleh pemilik M40 yang berbelanja lebih untuk bayaran pinjaman bank kereta.
"Apabila pasukan kami mengkaji dengan lebih dalam, kami dapati bahawa 4 peratus daripada pemilik kenderaan dengan nombor plat haram ini mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM2,000. Sebanyak 13 peratus mempunyai pendapatan sebanyak RM4,001 hingga RM7,000 sebulan.
"Sekitar 14.4 peratus pula memperoleh pendapatan bulanan dari RM7,001 hingga RM10,000 sebulan. Manakala majoriti dengan 49.1 peratus daripada semua pemilik kenderaan yang melanggar undang-undang nombor plat itu dianggarkan mempunyai pendapatan lebih dari RM15,000 sebulan. Namun angka ini adalah lebih kepada anggaran dan bukannya fakta konkrit.
"Walaupun eksperimen sosial Cent-GPS ini ringkas namun hasilnya harus membuatkan rakyat berfikir tentang budaya dan masyarakat Malaysia secara amnya.
"Dengan kereta bernilai lebih RM160,000 mendominasi kedua-dua kategori kesalahan nombor plat fancy dan cermin gelap melebihi had dibenarkan, kita perlu mempersoalkan mengapa masyarakat Malaysia melayan golongan ini dengan lebih keistimewaan," katanya.
16,561 'liat' bayar saman
Bukan sedikit jumlahnya apabila sebanyak lebih 16,561 pemilik kereta yang menggunakan nombor pendaftaran fancy masih gagal menjelaskan saman masing-masing sehingga kini.
Jumlah saman yang dikeluarkan itu menunjukkan pemilik kereta termasuk kenderaan mewah masih bersikap 'degil' dan angkuh terhadap peraturan ditetapkan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, berlaku peningkatan saman dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
"Berbanding tempoh sama pada 2021, sebanyak 9,174 saman belum dijelaskan daripada 25,670 saman yang dikeluarkan sejak awal Januari 2022.
"Pelbagai kesalahan dikesan antaranya menggunakan huruf sehingga mewujudkan perkataan pada plat nombor pendaftaran selain nombor pendaftaran terlalu kecil. Wujud juga kesalahan tulisan tidak sesuai dan nombor terlalu rapat," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, tindakan saman dikeluarkan terhadap pemilik pendaftaran yang menyalahi undang-undang iaitu menggunakan nombor pendaftaran fancy.
"Pertuduhan di Mahkamah dibuat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Selain tindakan saman, tindakan lain yang boleh diambil adalah mengikut Seksyen 108 (3)(e) bagi pemandu yang mempamerkan sesuatu pada kenderaan atau apa-apa lesen atau tanda pengenalan, plat atau dokumen yang diubah, diusik, dirosakkan, dicacatkan atau ditambah.
"Pemilik kenderaan boleh dikenakan denda tidak kurang RM 5,000 dan tidak lebih 20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun," katanya.
-myMetro
No comments:
Post a Comment