KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) memberi jaminan tidak akan menaikkan harga kenderaan sedia ada ketika ini walaupun berhadapan dengan inflasi dan lonjakan kos bahan mentah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata PERODUA akan memastikan model sedia ada masih dikekalkan dalam julat harga yang sama agar tidak terus memberi bebanan kepada pengguna.
Beliau bagaimanapun berkata, model dipertingkatkan dan model baharu akan mengalami perubahan harga, namun ia adalah disebabkan oleh peningkatan kapasiti atau teknologi yang digunakan.
"Bagi model sedia ada kami akan kekalkan harga setakat ini. Walaupun berdepan dengan peningkatan kos bahan mentah dan sebagainya, PERODUA masih lagi boleh mengawalnya," katanya ketika taklimat media Tinjauan Prestasi Perodua 2023 di sini hari ini.
Zainal Abidin berkata, bagi memastikan PERODUA kekal menjadi jenama kenderaan pilihan, kumpulan turut memperuntukkan sebanyak RM 1.15 bilion perbelanjaan modal bagi menambahbaik operasi.
Beliau berkata, antara bidang utama penambahbaikan termasuk bahagian perniagaan baharunya di mana PERODUA sedang meluaskan perniagaan Kenderaan Terpakai (POV), terutamanya selepas mendapat maklum balas positif daripada orang awam selepas pelancaran Ativa Hybrid pada September 2022.
Katanya, PERODUA juga memperuntukkan RM 537.1 juta untuk pembangunan model baharu serta RM 247.1 juta untuk memodenkan lagi operasi termasuk menaiktaraf pusat 1S dan 2S sedia ada kepada pusat 3S.
"Perbelanjaan modal yang besar untuk pembangunan model baharu adalah bagi keluaran tahun 2024 dan 2025. Kami perlu untuk membangunkannya pada tahun ini bagi memastikan PERODUA sentiasa memberikan kenderaan yang terbaik untuk pengguna," katanya.
Ketika ditanya sama ada PERODUA akan memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh terdekat, Zainal Abidin berkata, ia sedang menuju ke arah itu seiring dengan langkah yang diambil oleh kebanyakan pengeluar kenderaan lain ketika ini.
Beliau berkata, ketika ini PERODUA berada di peringkat pemerkasaan dan peningkatan operasi vendor-vendor tempatan terlebih dahulu bagi pengeluaran kenderaan EV.
Katanya, ini adalah kerana vendor masih lagi kekurangan pendedahan kepada EV dan teknologi maju disebabkan industri automotif Malaysia masih baru menerima kemasukan teknologi EV.
Bagi melaksanakan perkara itu katanya, PERODUA akan mengenal pasti syarikat global dengan elektrifikasi dan teknologi maju selain meneroka jalinan kerjasama strategik dengan vendor tempatan.
"PERODUA akan meningkatkan keupayaan vendor bagi memastikan semua pihak bersedia untuk kenderaan EV. PERODUA juga sedang meneliti adakah keperluan sebenar EV untuk pasaran domestik ketika ini.
"Masih di peringkat awal, kita akan terus melaksanakan pengukuhan keupayaan vendor. Adalah menjadi hasrat PERODUA untuk berkembang bersama rakan niaga kami dan kami mahu melakukan ini dengan cara yang akan memberi manfaat bersama dan kekal mampan," katanya.
-BH Online
No comments:
Post a Comment