Kumpul Duit Sejak Remaja, Bekas Jurutera Berjaya Buka Stesen Minyak Sendiri
Mencipta kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi bukan satu tugas mudah sebaliknya memerlukan usaha, kerja keras dan pengorbanan dari pelbagai sudut, baik masa, tenaga atau wang ringgit.
Seperti Imran Ariff Mohamed @ Razlan, kisahnya memberi inspirasi kepada anak muda lain apabila menjadi antara pengusaha stesen minyak bumiputera termuda di Perlis pada usia 34 tahun.
Bagaimana Imran Ariff berjaya memiliki stesen minyak seawal usia ini?
Semuanya bermula apabila beliau membuat keputusan untuk menceburi bidang peruncitan petroleum setelah terbaca iklan di laman sesawang Petronas kira-kira lima tahun lalu.
Bermula dari saat itulah bekas jurutera elektronik komputer itu nekad meninggalkan kerjaya ‘makan gaji’ dan beralih ke bidang peruncitan petroleum selepas diterima menjadi wakil niaga Petronas secara ‘Company Owned, Dealer Operate’ (CODO) pada awal 2019.
Imran Ariff menganggap dirinya bernasib baik kerana telah menyimpan modal sejak dari bangku sekolah lagi hasil dari pampasan yang diterimanya kerana terlibat dalam satu kemalangan pada usia 13 tahun dan menyimpan wang tersebut di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Beliau turut menceritakan kisahnya ketika masih belajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang mana beliau terpaksa mendisiplinkan diri agar tidak menggunakan wang simpanan ASB tersebut biarpun pada masa itu hampir semua rakan-rakanya memiliki telefon pintar mewah kerana menunggu peluang membuat pelaburan yang menguntungkan dan dapat menjamin masa depannya.
Katanya, hanya mengeluarkan duit simpanan sebagai modal permulaan sebanyak RM250,000 pada 2019 apabila menerima tawaran menjadi wakil niaga Petronas.
Menceritakan pengalamannya, Imran Ariff berkata bukan mudah baginya untuk mendapat kepercayaan daripada Petronas dan beliau berusaha keras tanpa rasa putus asa dengan membuat pemohonan sebanyak dua kali bermula pada 2010.
No comments:
Post a Comment