GEORGE TOWN: Pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang pastinya dinantikan susulan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang pernah menjadi musuh ketat mengetepikan perbezaan demi satu kerjasama.
Pemimpin dua parti itu dilihat bersedia bekerjasama, namun akar umbi dikatakan tidak begitu selesa mencontohi amalan itu di peringkat pusat.
Seorang pemimpin kanan DAP ketika ditanya sentimen akar umbi, memberitahu FMT: “Anwar Ibrahim hanya berkuasa baharu sebulan. PRN mesti dilaksanakan dalam tempoh lapan ke 10 bulan ini. Situasi sudah berubah dan akar umbi perlu memahami tiada musuh kekal dalam politik.”
Bagaimanapun, tidak mudah bagi PH mengekalkan majoriti besar seperti mana diterima pada pilihan raya 2018, mengambil kira peningkatan populariti Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan pengundi Melayu.
Kepala Batas, Permatang Pauh dan Tasek Gelugor kini dikuasai PN, pada PRU November lalu, jentera PH perlu bekerja keras di kawasan nusa teras Melayu di Balik Pulau dan Seberang Perai demi mengekang “gelombang hijau” – terma digunakan bagi menggambarkan kejayaan pakatan PN-PAS.
Kebimbangan di kerusi PKR
Seorang sumber dalaman PH, berkata timbul kebimbangan berhubung kerusi campuran dipegang PKR yang mana laluan mempertahankannya dianggap berliku, namun menambah: “Saya yakin semuanya akan berjalan lancar memandangkan faktor Anwar dan kerjasama dengan Umno.”
Pada pilihan raya 2018, PKR menang tipis di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Sumber itu juga berkata, pakatan politik PH dan BN menjelang PRN berkemungkinan hanya dengan Umno susulan kesukaran mencapai titik persamaan antara beberapa pihak dalam PH dengan MCA dan MIC.
“Kita boleh mengatasi PN dengan mengurangkan pertembungan pada PRN. Jika anda mencampur jumlah PH dan BN pada PRU15, kita boleh menang mudah di kawasan Melayu,” katanya.
Mengapa ikatan DAP-Umno perlu
“Pengundi Cina dulunya bimbang dengan kerjasama DAP-Umno. Tetapi, hari ini, jajaran Umno bersama PH dilihat sangat penting untuk mengekang PAS.”
Katanya: “Undi PRU15 merupakan buktinya. Kita sedia mengetahui apa yang dijangka berlaku.”
Dalam 40 DUN Pulau Pinang, PH menguasai 33 kerusi dengan lebih dua pertiga majoriti menerusi DAP (19 kerusi), PKR (12) dan Amanah (2 kerusi). Umno memiliki dua kerusi, manakala Bersatu (4) dan PAS (1).
Penggal DUN itu berakhir pada 2 Ogos dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh dua bulan selepas penggal tamat, atau lebih awal.
Beberapa pihak dalam Umno tidak selesa
Meskipun PH negeri mahu menjalin kerjasama dengan Umno, akar umbi parti itu agak sukar menerimanya terutama mereka menentang dasar PH Pulau Pinang berhubung penambakan tanah.
Seorang pemimpin tempatan Umno, berkata kebanyakan (ahli akar umbi) enggan bersama DAP kerana doktrin anti-DAP sudah terlalu lama dimomokkan.
“Pemimpin parti yang kekal memegang doktrin itu tidak dapat menerima kerjasama PH-BN. Inilah isu yang kita hadapi,” katanya.
Jangkaan tarikh PRN
PRN boleh diadakan pada Julai bagi Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, kata bekas pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, Julai merupakan tempoh bersesuaian susulan jemaah haji sudah kembali ke tanah air.
PRN di enam negeri dijangka membabitkan kos RM450 juta kepada SPR sekiranya diadakan serentak dan tambahan RM100 juta jika diadakan berasingan.
13 kerusi marginal
Kaji selidik dilakukan FMT mendapati terdapat 13 kerusi dianggap tidak selamat atau menang tipis, pada 2018, dengan tujuh kerusi disandang PKR, selain Umno dan Bersatu masing-masing dua; Amanah dan PAS masing-masing satu.
Kerusi marginal dengan peratusan undi dimenangi parti:
- Permatang Berangan (Umno) 37.8%
- Pinang Tunggal (PKR) 38.7%
- Sungai Dua (Umno) 41%
- Bertam (Bersatu) 41.2%
- Sungai Acheh (PKR) 44.1%
- Telok Ayer Tawar (PKR) 44.4%
- Penanti (PKR) 44.9%
- Permatang Pasir (Amanah) 45.3%
- Sungai Bakap (PKR) 45.5%
- Telok Bahang (Bersatu) 45.6%
- Pulau Betong (PKR) 49.6%
- Seberang Jaya (PKR) 53.1%
- Penaga (PAS) 53.5%
-FMT
No comments:
Post a Comment