Bekas ketua pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang didakwa bakal dipecat UMNO nampaknya sudah menerima tawaran banyak parti yang sudi menerimanya sebagai ahli baharu.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuat tawaran kepada Khairy untuk masuk parti tersebut dan bersama-sama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) jika UMNO memecatnya nanti.
“Pimpinan parti dalam PN sentiasa bersikap terbuka dan penyertaan mana-mana pemimpin politik atau individu untuk bersama melaksanakan pelbagai agenda kepada rakyat,” katanya dipetik laporan BH.
Selain itu, Samsuri juga berkata Khairy boleh memilih mana-mana satu parti untuk disertainya dalam PN nanti.
Difahamkan, UMNO dijangka mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) petang esok bagi membincangkan tindakan ke atas Khairy, menyebarkan dakwaan palsu mengenai kewujudan ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, pada pertengahan bulan lalu.
Mengulas lanjut, Samsuri mengakui Khairy adalah pemimpin hebat dan berfikiran terbuka serta mampu melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang.
“Pandangan saya adalah Khairy pemimpin yang mampu melaksanakan pelbagai agenda kepada rakyat.
“Kita mengalu-alukan dan bersedia menerima penyertaan Khairy untuk bersama dengan PN,” katanya.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment