Semua operasi premis perjudian di Kedah telah dihentikan mulai semalam (1 Januari 2023).
Ketika banyak pihak memuji dan menyokong lengkah kerajaan negeri Kedah menghentikan lesen premis judi di negeri ini bermula 2023, DAP masih pula berharap agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut.
Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong memberikan alasan, langkah tersebut wajar dipertimbangkan semula dengan tujuan mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial.
Menurutnya, tindakan tidak membenarkan premis judi dibuka dilihat akan mendatangkan lebih banyak masalah kepada masyarakat dan secara tidak langsung menggalakkan kegiatan perjudian haram.
“Kami berharap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dapat menarik balik arahan dan mengeluarkan lesen kepada pengusaha premis judi berlesen bagi memastikan keharmonian kaum.
“Bagi saya tindakan beliau (tidak mengeluarkan lesen judi) tidak boleh diterima kerana ia akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada masyarakat,” lapor Harian Metro, hari ini.
Swee Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman berkata, keputusan menyekat lesen judi yang dikawal undang-undang tidak akan menyelesaikan masalah maksiat dan sosial.
Beliau berkata, semua masalah berkenaan seharusnya diselesaikan melalui kaedah pendidikan kepada masyarakat terutama golongan muda.
“Bolehkah masalah maksiat dan sosial di negeri ini berhenti dengan berbuat demikian, apa yang kita bimbang adalah kesudahannya aktiviti ini menjadi tidak terkawal dan sesiapa saja semakin bebas berjudi.
“Ada sebab kenapa semua perniagaan perjudian itu dikawal selama ini, Menteri Besar kena fikir lebih dalam mengenai perkara ini,” katanya.
Swee Leong berkata, pihaknya juga berasa kecewa dengan keputusan kerajaan negeri kerana ia turut menjejaskan pekerja dalam sektor berkenaan.
Semalam, media melaporkan semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya pada 1 Januari 2023, susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.
Sehubungan itu, Muhammad Sanusi mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021 itu.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment