GEORGETOWN: Tindakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyatakan keyakinan bahawa Perikatan Nasional (PN) dapat 'menggoncang' Pulau Pinang hanya disifatkan sebagai angan-angan.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng secara berseloroh turut membayangkan kenyataan bekas Menteri Besar Perlis itu umpama peribahasa 'biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya'.
"Biarkan si labu dengan... biarlah biar...kalau dia nak (goncang Pulau Pinang) biarlah dia dengan dia punya anggan-angan dia," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Pulau Pinang di sini, malam ini.
Semalam, Shahidan menerusi hantaran berbentuk klip video di laman Facebook beliau berkata PN mempunyai strategi tertentu untuk menawan Negeri Sembilan dan Selangor, selain yakin dapat 'menggoncangkan' Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, DAP belum membuat sebarang perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung pembahagian kerusi dalam berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau turut berpendapat, perkara itu tidak akan didedahkan buat masa ini meskipun perbincangan mengenainya dilakukan kelak.
"Kalau adapun perbincangan (pembahagian kerusi) kita tidak akan dedahkan. Saya rasa tunggulah kita akan umumkan," katanya ringkas.
Isnin lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tiada halangan untuk pimpinan peringkat negeri mengadakan perbincangan berhubung pembahagian kerusi antara PH dan BN.
Perdana Menteri yang juga Presiden PKR itu turut menjelaskan setakat ini belum ada perbincangan rasmi berhubung perkara itu sebagai persiapan PRN akan datang.
-BH Online
No comments:
Post a Comment