Memetik laporan FMT, Bung Moktar berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu melanggar perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dimeterai selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 2020.
“Penubuhan kerajaan negeri Sabah sekarang adalah hasil persefahaman yang termeterai di antara parti BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Bersatu, STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) selepas keputusan PRN Sabah ke-16.
“Persefahaman politik tersebut antara lain menyebut ADUN BN, Umno akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hajiji untuk dilantik sebagai ketua menteri Sabah selagi mana pelantikan ahli Jemaah Menteri serta lantikan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada BN, UMNO seperti termaktub di dalam perjanjian persefahaman politik dihormati.
“Persefahaman politik tersebut telah dicabuli oleh Hajiji apabila beliau bertindak memecat Salleh Said Keruak daripada jawatannya sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad tanpa berunding dengan pengerusi BN Sabah dan bertindak mengumumkan bahawa satu rombakan Jemaah Menteri akan dibuat tanpa berunding terlebih dahulu dengan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan ADUN serta pimpinan Umno Sabah di ibu pejabat parti berkenaan di sini, hari ini.
Menurut Bung Moktar lagi, Hajiji juga tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk terus kekal sebagai ketua menteri susulan tindakannya keluar daripada Bersatu, baru-baru ini.
“Selepas Hajiji keluar daripada Bersatu, kami telah berbincang dengan beberapa peguam dan dapati Hajiji tiada ‘locus standi’ untuk menjadi ketua menteri.
“Mengikut Perlembagaan Negeri 6 (3), beliau tiada kelayakan lagi untuk menjadi ketua menteri, Hajiji tidak berparti, dia bernaung di bawah GRS dan adalah gabungan.
“Dengan penarikan sokongan kepercayaan ini, Hajiji telah hilang majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah dan tidak berkelayakan untuk dilantik ke jawatan ketua menteri,” katanya.
Sementara itu, Bung enggan mendedahkan langkah seterusnya yang akan dilakukan parti itu namun mengatakan yang mereka sedia bekerjasama dengan mana-mana parti untuk menubuhkan kerajaan.
“Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, asalkan mereka ikhlas,” katanya.
-suara.tv
No comments:
Post a Comment