Baru-baru ini sebuah portal berbahasa Inggeris yang pro kepada Pakatan Harapan (PH) melaporkan kononnya wujud usaha untuk menjatuhkan kerajaan campuran yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Portal berbahasa Inggeris itu yang cenderung menyokong PH sebelum ini mendakwa terdapat beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang mahu menarik sokongan dengan memetik sumber yang tidak dijelaskan secara terperinci.
Laporan itu juga menamakan beberapa individu yang didakwa kononnya akan menarik sokongan terhadap kerajaan campuran walaupun diketahui sejauh mana kesahihan laporan tersebut.
Ironinya, portal tersebut sebelum ini paling kuat dalam membela dan menyokong kerajaan PH semasa dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Malah, diketahui umum juga pemilik portal tersebut mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin kanan dalam kerajaan campuran.
Persoalan yang timbul kini apakah tujuan portal tersebut mengeluarkan laporan sedemikian yang seakan-akan cuba memperlihatkan kerapuhan antara sesama parti dalam kerajaan campuran, malah bukankah laporan tersebut akan menyebabkan kerajaan campuran akan goyang?
Bagaimana sebuah portal yang menjadi penyokong kuat PH kini seakan-akan tidak lagi menyokong kerajaan campuran, apakah muslihat dan strategik politik yang sedang dirancang?
Adakah portal tersebut mahu memberi amaran supaya langkah pencegahan diambil bagi mengelakkan kerajaan campuran jatuh secara sendirinya akibat kelemahan dalam mentadbir negara?
Turut menjadi tanda tanya apakah motif dan tujuan laporan tersebut dikeluarkan pada ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan pada masa terdekat ini.
Dalam pada itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sudah menafikan berhubung rancangan yang didakwa wujud untuk menjatuhkan kerajaan campuran seperti dilaporkan portal tersebut.
Malah, Ka Siong yang didakwa salah seorang Ahli Parlimen yang akan menarik sokongan menegaskan, partinya memberikan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, artikel itu mengandungi kenyataan yang memetik dakwaan sumber dan disifatkan sebagai tidak berasas.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, laporan terbabit sebenarnya perlu menunjukkan bukti bagaimana penglibatan dimaksudkan, sedangkan MCA sendiri tidak tahu kewujudan usaha atau percubaan seumpama itu.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof turut menafikan terdapat cubaan untuk menjatuhkan kerajaan tersebut sebaliknya ia hanya dakwaan tidak boleh dipercayai.
Menurutnya, malahan beliau tidak mengetahui sebarang langkah untuk menjatuhkan kerajaan pusat di bawah Anwar.
“Saya tidak tahu (ada cubaan), maka itu saya tidak mahu komen berita yang tidak boleh dipercayai.
“Apa yang penting adalah kita (kerajaan) menumpukan untuk bekerja untuk memastikan Malaysia kembali ke kedudukan tertinggi, terutama memulihkan ekonomi,” katanya dipetik laporan media.
Dua kenyataan oleh Ahli Parlimen kerajaan tersebut secara tidak langsung menafikan laporan yang ditulis oleh portal berbahasa Inggeris pro PH tersebut.
Kenyataan tersebut juga boleh ditafsirkan sebagai laporan berita palsu yang memetik sumber sudah dikeluarkan oleh portal PH tersebut.
Setakat ini, tidak ada kenyataan tegas daripada Menteri yang bertanggungjawab menjaga portfolio berhubung komunikasi dan multimedia untuk menjawab tulisan dikeluarkan oleh portal berbahasa Inggeris tersebut.
Berbeza sebelum ini jika terdapat portal yang mengeluarkan laporan tidak menyebelahi sebelah kerajaan, Menteri tersebut pasti akan pantas membuat penafian dan meminta penjelasan berhubung artikel palsu tersebut.
Malah tidak kurang juga akan ada pemimpin parti dalam kerajaan yang akan membuat laporan polis terhadap berita palsu tersebut.
Mengapa sekarang tidak mahu buat laporan polis berhubung artikel yang dikeluarkan oleh portal yang pro kepada PH dan kerajaan campuran tersebut?
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment