Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak patut menjatuhkan air muka anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berhubung pelantikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata Zahid telah membuat pengumuman mengenai pelantikan itu secara terbuka dan telah diketahui ramai.
Namun, beliau berkata Anwar sebaliknya mengumumkan pula bahawa pelantikan itu akan dikaji semula, dan tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana UMNO telah memberi kerjasama baik kepada kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
“Pengumuman PMX untuk menilai semula pelantikan seorang pemimpin UMNO sebagai Pengerusi KEDA adalah satu perkara yang kurang wajar.
“Pelantikan itu sudah diumumkan secara terbuka, PMX perlu jaga maruah dan air muka pemimpin terbabit (Zahid).
“UMNO sudah memberikan kerjasama yang cukup baik dalam menubuhkan kerajaan perpaduan,” kata Ahli Parlimen PN Pasir Mas itu, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Anwar bahawa pelantikan Abdul Azeez ditangguhkan kerana akan dikaji semula.
5 April lalu, Zahid mengumumkan bekas ahli Parlimen Baling itu dilantik sebagai pengerusi KEDA menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Pengumuman berkenaan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada satu program anjuran Kementerian berkenaan di Jitra, Kedah.
Menurut beliau, pelantikan Abdul Azeez ke jawatan berkenaan adalah bagi mengisi kekosongan yang sebelum ini disandang oleh Jamil yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata Anwar sepatutnya mengenang jasa dan sumbangan UMNO dalam membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Kena ingat jasa dan sumbangan UMNO. Jangan dilayan seperti melukut di tepi gantang. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment