SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan memberikan bukti berhubung kenyataan dibuatnya terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjawab notis tuntutan yang diberikan kepadanya pada 27 Mac lalu.
Beliau dalam sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM turut menyanggah stigma negatif dilontarkan bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh itu terhadap bangsa Melayu yang disifatkan sebagai malas dan mudah lupa.
“Ini Tun Dr. Mahathir Mohamad, jangan bimbang, tak apalah. Saya pernah bercakap, pentadbirannya ada baik juga tetapi kerosakan yang berlaku itu banyak, sistemnya.
“Kemudian bila bercakap soal Melayu ini malas, tak reti berterima kasih, mudah lupa, semuanya negatif ini. Betul ke budaya Melayu begitu? Ada profesor Melayu di sini. Tak betul.
“Masalah kita pemikiran pimpinan, jadi bagi saya ini soal pemikiran percanggahan dengan Dr. Mahathir, saya tak mahu gaduh. Tetapi minta jawab, saya jawablah, dia minta bukti saya akan beri bukti, tiada masalah,” katanya, hari ini.
Beliau menambah, semua bangsa mempunyai kelemahan dan masalah sama namun itu tidak menghalang setiap bangsa melahirkan tokoh-tokoh besar dan intelektual yang ramai.
“Bangsa mana tidak ada yang malas, semua ada, semua bangsa ada yang mudah lupa. Tetapi Melayu melahirkan intelektual ramai, tokoh-tokoh besar, begitu juga dengan orang India, Cina dan lain-lain. Tak apalah, tetapi jangan menghina,” tegasnya.
Terdahulu, Dr. Mahathir dilaporkan menghantar notis tuntutan kepada Anwar berhubung kenyataan Ahli Parlimen Tambun itu yang didakwa sebagai fitnah terhadapnya ketika berucap dalam Kongres Nasional Khas PKR 2023, baru-baru ini.
Menurutnya, biarpun Anwar tidak menyebut namanya tetapi berdasarkan laporan akhbar, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya.
“Anwar menuduh saya ada berbilion ringgit, agih kepada keluarga, anak, saya adalah scoundrel (penyangak) dan ini memberi gambaran buruk kepada diri saya. Ini adalah fitnah melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya dapat berbilion ringgit dan melarikan duit ke luar negara serta tidak bayar cukai.
“Banyak tuduhan dalam ucapan ini. Jika dahulu dia cakap masa tidak jadi Perdana Menteri tidak apa, tetapi sekarang beliau Perdana Menteri. Jadi, beliau tidak boleh buat tuduhan tanpa bukti jelas,” katanya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment